STATUS Penganjuran GP Malaysia Sambung Atau Tidak Diketahui Bulan Ini

Sebagai rekod, penganjuran GP Malaysia sudah berlangsung di SIC sejak tahun 1999 dan hanya dua kali tidak dianjurkan iaitu pada tahun 2020 dan 2021 susulan penularan pandemik COVID-19

TERKINI

2/6/20261 min read

TEKA-teki mengenai status penganjuran perlumbaan berprestij, Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia melepasi musim 2026 bakal terjawab seawal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, berkata ketika ini perbincangan mengenai lanjutan kontrak penganjuran perlumbaan berprestij itu sedang memasuki fasa akhir.

Katanya, kertas kerja berkaitan cadangan lanjutan itu sudah pun dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kini menanti kelulusan peringkat tertinggi iaitu Kabinet.

"Kertas kerja sudah dibentangkan kepada pihak KBS. Ketika ini, ia sedang menunggu masa untuk dibawa ke peringkat Jemaah Menteri (Kabinet).

"Justeru, kita menjangkakan keputusan rasmi sama ada GP Malaysia akan diteruskan atau tidak, akan diketahui pada bulan ini," katanya.

Mengulas lanjut, Azhan Shafriman berkata, kertas kerja yang dikemukakan itu mencadangkan lanjutan kontrak selama lima tahun lagi.

Katanya, tempoh itu dilihat relevan memandangkan masih banyak perancangan yang diatur oleh SIC bersama pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports yang belum dilaksanakan sepenuhnya.

"Kontrak terdahulu adalah bagi tempoh 2024 hingga 2026. Walaupun terdapat peningkatan yuran penganjuran antara 10 hingga 15 peratus, namun kenaikan itu disifatkan setimpal dengan nilai komersial yang ditawarkan oleh sukan permotoran dua roda nombor satu dunia itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta mengakui rundingan pelanjutan kontrak bersama SIC menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

Katanya, Dorna Sports sememangnya berhasrat untuk melanjutkan kerjasama selama lima tahun lagi memandangkan Malaysia kekal sebagai pasaran yang amat penting bagi sukan itu di rantau ini.

"Rundingan sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar dan kini hampir dimuktamadkan, cuma menunggu proses formalisasi," katanya.

Sebagai rekod, penganjuran MotoGP Malaysia sudah berlangsung di SIC sejak tahun 1999 dan hanya dua kali tidak dianjurkan iaitu pada tahun 2020 dan 2021 susulan penularan pandemik COVID-19.