STATUS Semasa Kontrak Pelumba, Pasukan MotoGP Ketika Ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/23/20242 min read

TRACKHOUSE Racing, pasukan satelit MotoGP Aprilia yang juga 'pecahan' daripada pasukan RNF Racing menjadi firma terbaharu di kejuaraan itu mengumumkan salah seorang pelumbanya bagi kempen musim depan.

Mengikuti pengesahan Raul Fernandez itu, ia menyaksikan hanya ada lapan lagi posisi yang tersedia untuk direbut di grid MotoGP 2025 dengan dua daripadanya daripada pasukan berstatus 'kilang'.

Seperti diketahui, ketiga-tiga pasukan berstatus 'kilang' daripada pengeluar Eropah - Ducati, KTM dan Aprilia ketika ini sudah pun melengkapkan senarai pelumbanya.

Tetapi pasukan 'kilang' dari Jepun, Yamaha dan Honda tampak lebih gemar memanjangkan teka-teki membabitkan perkara berkenaan sekalipun mempunyai pelumba berkualiti.

Selain itu, Yamaha yang kembali memiliki pasukan satelit musim depan menerusi Pramac juga belum mengumumkan kedua-dua pelumba yang akan memacu pasukan itu musim depan.

Manakala pasukan satelit Honda, LCR juga dikatakan sedang menilai sama ada ingin meneruskan khidmat pelumba Jepun, Takaaki Nakagami atau tidak.

Berbeza untuk Ducati, sekalipun secara teorinya ada tiga lagi tempat tersedia, salah satunya perlu diberikan kepada pelumba muda Sepanyol, Fermin Aldeguer berikutan kontrak yang dimiliki bersama Ducati.

Dan posisi itu dijangkakan adalah untuk menjadi rakan sepasukan kepada Alex Marquez di Gresini Racing.

Pasukan milik legenda Itali, VR46 masih belum mengumumkan pelumbanya namun menurut khabar angin, pasukan itu akan mengekalkan Fabio di Giannantonio selain merekrut kembali salah seorang pelumba daripada akademinya, Franco Morbidelli.

Apa yang menarik, VR46 juga dikatakan akan diberikan jentera berstatus 'kilang' oleh Ducati musim depan.

Satu-satunya pengeluar yang sudah melengkapkan senarai empat pelumba musim depan adalah KTM.

Secara keseluruhan dan teknikalnya, ada lapan lagi pelumba yang sedang beraksi dalam kempen musim ini belum mengetahui mengenai destinasi mereka musim depan dan ia selari dengan kekosongan yang ada iaitu lapan berikutan persaraan Aleix Espargaro.

Berikut adalah perinciannya.

Senarai pelumba yang sudah memiliki kontrak melebihi 2024:

  • Alex Marquez (Gresini Racing) Kontrak Gresini, Penghujung 2026

  • Maverick Vinales (Red Bull KTM Tech3) Kontrak KTM, Beberapa tahun

  • Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech3) Kontrak KTM, Beberapa tahun

  • Marc Marquez (Ducati Lenovo) Kontrak Ducati, Penghujung 2026

  • Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo) Kontrak Ducati, Penghujung 2026

  • Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory) Kontrak KTM, Beberapa tahun

  • Brad Binder (Red Bull KTM Factory) Kontrak KTM, Penghujung 2026

  • Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha) Kontrak Yamaha, Penghujung 2026

  • Jorge Martin (Aprilia Racing) Kontrak Aprilia, Beberapa tahun

  • Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) Kontrak Aprilia, Beberapa tahun

  • Luca Marini (Repsol Honda) Kontrak Honda, Penghujung 2025

  • Johann Zarco (LCR Honda Castrol) Kontrak Honda, Penghujung 2025

  • Fermin Aldeguer (Belum ditentukan), Kontrak Ducati, Penghujung 2026 (Pilihan lanjutan 2 tahun)

Senarai pelumba yang masih tidak memiliki kontrak melebihi 2024:

  • Alex Rins (Monster Energy Yamaha) Kontrak Yamaha

  • Joan Mir (Repsol Honda) Kontrak Honda

  • Jack Miller (Red Bull KTM Factory Racing) Kontrak KTM

  • Franco Morbidelli (Prima Pramac Racing) Kontrak Ducati

  • Fabio di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46) Kontrak VR46

  • Miguel Oliveira (Trackhouse Racing) Kontrak Aprilia

  • Augusto Fernandez (Red Bull Tech3 GASGAS) Kontrak KTM

  • Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu) Kontrak Honda

  • Aleix Espargaro (Aprilia Racing) Bersara penghujung 2024