STEFAN Pierer Tinggalkan KTM
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/23/20251 min read


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Pierer Mobility Group (PMG) dan KTM AG, Stefan Pierer akan melepaskan jawatannya di syarikat itu.
Kedua-dua jawatan itu bakal dipikul Gottfried Neumeister yang tiba ke syarikat itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada September tahun lalu.
Begitupun sedikit pelik, Pierer masih memikul tugas sebagai CEO-Bersama bagi membantu Neumeister untuk memulihkan kembali syarikat itu.
Seperti diketahui, Pierer adalah antara individu penting terhadap program sukan permotoran KTM yang menyaksikan pengeluar itu menyertai pelbagai kejuaraan berprestij termasuk MotoGP.
"Stefan Pierer akan menyerahkan jawatan CEO PMG AG dan KTM AG kepada Gottfried Neumeister," kata syarikat itu menerusi satu kenyataan.
Menurut syarikat itu lagi, Pierer "akan terus membantu (Neumeister) sebagai CEO-Bersama ketika proses penstrukturan semula."
Pierer berkata: "Bagi saya, KTM akan sentiasa lebih daripada sekadar syarikat, ia adalah semangat, misi dan keluarga.
"Keputusan untuk menyerahkan kuasa bukan suatu yang mudah. Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi kepada Gottfried Neumeister, dengan pandangan jauhnya yang strategik dan komitmen, adalah pilihan yang tepat untuk mengetuai KTM menghadapi masa depan."
Neumeister berkata: "Stefan Pierer mencipta syarikat unik yang mencerminkan keghairahan dan semangat kepada semua pekerjanya. Saya melihatnya sebagai tugas untuk memelihara legasi ini dan pada masa yang sama mencipta landasan baharu.
"KTM bermaksud keberanian, inovasi dan semangat - nilai yang akan terus kami hayati dan bawa ke masa hadapan. Bersama-sama dengan pasukan kami, kami akan terus mengukuhkan KTM dan menetapkan piawaian baharu untuk membina motosikal terbaik di dunia."
Sebelum ini, terma Pierer sebagai CEO akan tamat pada 31 Disember 2025.
Begitupun, ia datang lebih cepat daripada jangkaan berikutan masalah kewangan meruncing yang dihadapi oleh KTM AG yang menyaksiukan syarikat itu memulakan prosiding insolvensi bagi mengelak kebankrapan.
Antara pelan penstrukturan semula yang dilakukan oleh syarikat itu termasuklah pengurangan tenaga kerja yang digabungkan dengan pengursangan pengeluaran motosikal.
