'STOPPIE' Toprak Razgatlioglu Lagi Padu - Jack Miller
Yamaha berjaya memikat juara berganda WorldSBK Toprak Razgatlioglu untuk beralih ke MotoGP selepas deretan kejayaan cemerlang di pentas berkenaan dengan pelumba Turki itu sedang mendahului kedudukan kejuaraan WSBK 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/10/20251 min read


PELUMBA Australia, Jack Miller bakal bergandingan dengan juara dunia dua kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu di garaj Pramac Yamaha dalam kempen MotoGP musim 2026 dan situasi itu jelas menarik buat dua pelumba yang gemar melakukan 'stoppie' itu.
Dalam satu temu bual bersama rancangan Gear Up MotoGP, Miller yang terkenal dengan gaya tunggangan agresif meluahkan rasa teruja dengan kehadiran Razgatlioglu tetapi pada masa sama turut merasa rendah diri.
Malah, bekas pelumba yang pernah beraksi bersama Ducati dan Yamaha itu mengakui yang 'stoppie' atau aksi mengangkat tayar belakang Razgatlioglu lebih padu daripadanya.
"Luar biasa dapat berkongsi garaj dengan Toprak. Dia sudah pun dianggap sebagai legenda… ini kali pertama saya akan berkongsi garaj dengan seseorang yang boleh buat ‘stoppie’ lebih hebat daripada saya,” kata Miller dalam nada berseloroh.
Tetapi di sebalik gurauan itu, Miller percaya kehadiran Toprak akan menyuntik semangat baharu ke dalam pasukan Pramac Yamaha.
"Tenaga positif daripada kami berdua akan memberi impak kepada projek ini—dan itulah yang diperlukan," katanya.
Perpindahan Toprak ke Pramac Yamaha dianggap sebagai antara kejutan terbesar dalam pasaran pelumba musim 2026.
Yamaha berjaya memikat juara berganda WorldSBK itu untuk beralih ke MotoGP selepas deretan kejayaan cemerlang di pentas berkenaan dengan pelumba Turki itu sedang mendahului kedudukan kejuaraan dengan kelebihan 39 mata selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut di Perancis.
Bagi Miller, kehebatan Toprak bukan sekadar di atas litar dan menyifatkannya sebagai salah seorang individu paling tulen yang pernah ditemuinya.
"Dia antara individu paling jujur dan ikhlas yang pernah saya jumpa… sesiapa sahaja dalam paddock kami yang pernah bekerjasama dengannya di WorldSBK hanya ada perkara baik untuk dikatakan tentangnya."
