STRATEGI Akid Aziz Hadapi Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/3/20241 min read

PELUMBA negara, Md Akid Aziz hanya dibezakan satu mata menuju perlumbaan pusingan terakhir kelas UB150 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Buriram, Thailand yang dijadual hujung minggu ini.

Sedar dengan persaingan sengit yang bakal dihadapi, pelumba pasukan PitsBike OneWay JRT Tech2 Racing itu mengakui tiada kesilapan boleh dilakukan apabila cabaran datang daripada pelumba yang pernah memenangi perlumbaan di litar sama pada Pusingan 1, Fahmi Basam dari Indonesia.

Berlumba bersama pasukan Yamaha LFN HP969 INDONESIA Racing, Fahmi berjaya memenangi perlumbaan pembuka tirai di Thailand pada Mac lalu yang meletakkannya sebagai antara calon pilihan.

Berbaki dua perlumbaan, Akid ketika ini memimpin carta selepas mengumpul 115 mata diikuti Fahmi 114 mata. Dengan 50 mata masih boleh direbut, beberapa pelumba secara matematik masih berpeluang termasuk juara keseluruhan tahun lalu, Nazirul Izzat Md bahauddin juga daripada Malaysia yang mengumul 96 mata.

"Setiap perlumbaan datang dengan tekanan yang tersendiri termasuk dalam kelas UB150 dan persaingan cukup sengit," kata Akid yang juga juara keseluruhan PETORNAS MAM Malaysia Cub Prix musim ini.

"Tetapi saya sudah berlatih dengan gigih dan fokus kepada strategi jadi sekalipun saya masih gementar, saya juga melihatnya sebagai motivasi. Saya perlu konsisten sepanjang masa dan juga memgambil kira jika mahu mengambil sebarang risiko terutama pada selekoh terakhir di pusingan terakhir.

"Ia adalah kebimbangan saya yang sebenarnya. Satu kesilapan boleh menghasilkan kemalangan yang besar."

Akid yang pernah menjuarai gelaran keseluruhan kelas UB150 sebelum ini berkata pengalaman sebagai juara sedikit sebanyak membantunya tetapi kejuaraan juga semakin bertambah baik yang menyaksikan persainggannya meningkat.

"Musim ini jelas ada peningkatan dari sudut keseluruhan yang memerlukan saya mengadaptasi dengan pantas," kata Akid.

"Strategi saya adalah kombinasi persiapan, adaptasi dan kerja berpasukan. Bukan saya seorang tetapi keseluruhan pasukan perlu berada di landasan dan minda yang sama."