'STREET Fighter' Sugomi Kawasaki Z1100 'Dalam Perjalanan'!

TULAR

5/24/20251 min read

KAWASAKI seperti diketahui melancarkan beberapa model yang mendapat naik taraf dari sudut trenkuasa, baru-baru ini seperti Kawasaki Versys 1100 dan Kawasaki Ninja 1100SX.

Dan perkembangan terbaharu, syarikat pengeluar motosikal terkemuka Jepun itu dijadualkan melancarkan dua lagi model yang menggunakan trenkuasa yang sama, 1099 cc, 4 Silinder Sebaris.

Dan antara yang dinanti-nantikan adalah model dalam segmen 'Hyper naked', Kawasaki Z1100 dan akan dilancarkan sebagai model 2026.

Berdasarkan laporan media automotif luar negara, tertiris dokumen permohonan terkini yang mengesahkan bahawa Kawasaki Z1100 bakal hadir untuk tahun model 2026.

Menerusi permohonan paten terhadap California Air Resources Board (CARB), terlihat kod model baharu ZR1100HT yang sekali gus mengesahkan model yang akan dipadankan dengan enjin 1,099 cc, 4 Silinder Sebaris untuk model baharu Kawasaki dengan siri 'Z' itu selepas ini.

Seperti diketahui, Kawasaki Z1000 sudah pun dihentikan pengeluarannya pada awal 2020 berikutan peraturan emisi yang makin ketat dan digantikan dengan Z900.

Berdasarkan jangkaan, Kawasaki Z1100 akan menghamburkan lebih kuasa berbanding Versys 1100 dan berkemungkinan lebih mirip Kawasaki Ninja 1100SX iaitu 134 Hp @ 9,000 rpm dan 112.8 Nm @ 7,600 rpm.

Jika berpandukan kepada model-model '1100' yang sudah dilancarkan, tiada perubahan drastik daripada sudut rekaan dapat dilihat. Tetapi disebabkan Kawasaki Z1000 adalah model yang sudah dihentikan pengeluaran, ada kemungkinan berlaku perubahan dari sudut rekaan.

Setakat ini, belum ada model menggunakan trenkuasa baharu ini 'sampai' ke Malaysia.