SUKAR Nak Jumpa Bakat Macam Hakim Danish - Azuan

Pengarah Urusan Mitratech Asia, Mohd Azuan Izadee Md Nordin yakin potensi istimewa yang ada kepada Hakim Danish menjadi pendorong utama syarikatnya untuk tampil sebagai rakan penaja pasukannya, AEON Credit SIC Racing MSI

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/20/20252 min read

BAKAT dan semangat juang dimiliki pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang akan beraksi menerusi tiket wildcard Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang dari 24 hingga 26 Oktober ini adalah sesuatu yang sukar untuk diperoleh.

Pengarah Urusan Mitratech Asia, Mohd Azuan Izadee Md Nordin berkata, keyakinan terhadap potensi istimewa yang ada pada pelumba berusia 18 tahun itu yang menjadi pendorong utama syarikatnya untuk tampil sebagai rakan penaja pasukannya, AEON Credit SIC Racing MSI.

Menurutnya, keputusan untuk membantu perjalanan karier Hakim Danish dibuat atas dasar kepercayaan penuh terhadap kemampuan pelumba itu untuk pergi lebih jauh di persada dunia.

Sebagai antara penaja, logo Mitratech Asia turut dipaparkan di bahagian hadapan jentera perlumbaan Hakim Danish yang menjadi bukti komitmen mereka terhadap Hakim Danish.

“Bakat yang dimiliki oleh Hakim Danish Ramli sukar diperoleh. Ia adalah sesuatu yang istimewa dan kami di Mitratech Asia percaya ia perlu digilap sebaik mungkin untuk menyerlah di peringkat tertinggi,” kata Azuan.

Azuan, yang juga juga Pengerusi Kelab Sukan Bermotor BRAAAP berkata dia secara peribadi sudah menyaksikan sendiri evolusi Hakim Danish sejak dari peringkat akar umbi lagi.

“Saya menjadi saksi perkembangannya sejak Hakim Danish menjuarai kejuaraan sulung SIC MiniGP pada tahun 2020, di mana BRAAAP adalah penganjur bersama. Sejak itu, saya tahu dia mempunyai sesuatu yang berbeza,” katanya.

"Karakter yang ditunjukkan oleh Hakim Danish di litar dan di luar litar sememangnya berbeza berbanding pelumba cilik lain, dengan disiplin dan fokus yang begitu menyerlah pada usia muda.

Menurut Azuan, potensi yang ada pada Hakim Danish bukan sahaja mampu menjadikannya seorang ikon sukan, tetapi juga sebagai contoh teladan kepada golongan remaja yang meminati sukan permotoran.

“Dia boleh menjadi contoh terbaik kepada remaja di luar sana, menunjukkan bahawa ada laluan yang betul untuk berjaya dalam sukan ini, dan bukan dengan cara yang salah,” katanya.

Dan apabila bakat seperti Hakim Danish dikesan, ia akan menarik perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, dan platform seperti ZK Racing untuk membawanya ke hadapan.

Azuan berkata, penampilan Hakim Danish di GP Malaysia nanti adalah platform terbaik untuk membuktikan kemampuannya di hadapan pasukan-pasukan Kejuaraan Dunia Moto3.

“Harapan kami adalah agar aksinya di Sepang nanti dapat membuka lebih banyak peluang untuknya bersaing di peringkat antarabangsa secara tetap pada masa akan datang,” katanya.