SUKAR Nak Letak Sasaran Untuk Yamaha Sekarang - Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/14/20251 min read


UJIAN pra-musim MotoGP 2025 di Buriram, Thailand yang berakhir, semalam memaksa pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo menyatakan 'tiada sasaran' diletakkan olehnya pada musim ini.
Mengakui situasi semakin baik, Yamaha yang mengharungi dua musim tanpa sebarang kemenangan tampak seperti melakukan peningkatan mengujakan terutama ketika ujian di Sepang dan Barcelona, tahun lalu.
Situasi itu menyaksikan pasukan itu mendapat pelbagai pujian, termasuk Ducati tetapi ia berubah di Buriram, pelumba kelahiran Perancis itu sekadar melakukan catatan ke-8 terpantas.
Justeru, reaksi juara dunia MotoGP 2021 menjelang kempen baharu tidak begitu memberangsangkan.
"Saya tidak mempunyai sasaran, tiada matlamat, tiada apa-apa," kata Quartararo. "Jadi, bagi saya, ketika ini terlalu sukar untuk menetapkan sasaran kerana kami masih pada tahap di mana kami perlu bertambah baik.
"Kami perlu berfikir pada ketika ini kami berada di situasi di mana kami masih bertambah baik.
"Saya fikir sasaran akan diletakkan sebelum Perlumbaan Sprint dan sebelum perlumaan utama. Saya fikir lebih baik meletakkan sasaran apabila kami fikir kami lebih bersedia atau di mana kami berada.
Ketika ditanya mengenai adakah dia menjangka jurang akan lebih besar dengan pelumba di barisan depan di Buriram, Quartararo menjelaskan yang keadaan di Sepang berbeza.
"Di sini saya tidak memperoleh perasaan yang baik dengan bahagian depan, dan saya fikir, saya fikir kami kehilangan 0.2s ke 0.3 saat, terutama ketika ujian masa ketika berada di sini.
"Kemudian dari sudut kelajuan, seperti di Malaysia, saya fikir kami 0.3 saat lebih perlahan berbanding simulasi Perlumbaan Sprint. Dan saya fikir di sini, kami 0.3, 0.4 saat lebih perlahan dengan mereka di depan."
"Jadi ya, saya fikir ia agak sama seperti yang apa saya jangkakan di sini. Cuba ketika serangan masa saya menjangkakan untuk menjadi lebih pantas kerana saya tidak menjangka yang tidak akan memberoleh perasaan yang baik dengan bahagian depan."
