'SUKAR' Nak Lihat Marc Marquez Beraksi Di Portugal

Perkembangan mengecewakan itu hadir apabila pakar perubatan siri perlumbaan berprestij itu menegaskan kecederaan bahu kanan Marc Marquez memerlukan rawatan rapi dan tempoh pemulihan yang panjang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/16/20251 min read

SELEPAS Grand Prix (GP) Australia dan Malaysia, harapan untuk melihat juara dunia MotoGP musim ini, Marc Marquez kembali beraksi di GP Portugal bulan depan hampir pasti tidak kesampaian.

Perkembangan mengecewakan itu hadir apabila pakar perubatan siri perlumbaan berprestij itu menegaskan kecederaan bahu kanan Marquez memerlukan rawatan rapi dan tempoh pemulihan yang panjang.

Ketua perubatan MotoGP, Dr Angel Charte, menegaskan Marquez mungkin tidak akan kembali berlumba sebelum perlumbaan penutup musim di Valencia.

Pelumba Sepanyol itu mengalami patah tulang serta kerosakan ligamen pada bahu kanan selepas terbabit insiden kemalangan dengan pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi pada pusingan pertama GP Indonesia di Mandalika.

“Minggu lalu, ketika pemeriksaan di Clinica Ruber Internacional di Madrid, Dr Roger de Ona dan pasukannya mendapati kecederaan itu tidak stabil. Mereka membuat keputusan terbaik untuk memperbaikinya melalui pembedahan,” kata Dr Charte ketika ditemui di GP Australia.

“Marc sudah menjalani pembedahan, dibenarkan keluar selepas 24 jam dan kini memulakan tempoh rehat. Apabila doktor merasakan sesuai, barulah proses pemulihan akan bermula. Namun untuk kembali di Portugal amatlah rumit kerana kecederaan ini boleh memberi kesan jangka panjang jika tidak dirawat dengan berhati-hati.”

Sebelum ini, pemeriksaan awal mendapati kecederaan Marquez tidak memerlukan pembedahan, namun keputusan itu berubah minggu lalu apabila pelumba kelahiran Sepanyol itu menjalani operasi berkenaan.

Pakar ortopedik Sepanyol, Dr Pedro Luis Ripoll, turut menjangkakan tempoh pemulihan Marquez boleh mencecah selama 16 minggu, sekali gus menutup peluangnya untuk kembali sebelum musim berakhir.

Dengan gelaran juara dunia sudah pun menjadi miliknya, Marquez juga mengakui dia tidak akan terburu-buru seperti sebelum ini, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan.