SUKAR Nak Senyum, Paling Penting Perlumbaan GP - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20241 min read

MARC Marquez membuktikan dia memang mampu bergelar juara bersama Ducati apabila memenangi Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Aragon 2024, semalam yang juga kemenangan pertama jentera Ducati Desmosedic GP23 musim ini.

Tampil dengan prestasi cukup dominan di Aragon yang dilabel sebagai laman sendiri, kemenangan itu begitupun tidak menamatkan 'kemarau' kemenangan Marquez secara rasmi yang sudah berlarutan hampir tiga tahun.

Begitupun, keputusan itu masih meletakkan dirinya berdiri di podium utama sambil mengakui perkara paling penting adalah perlumbaan utama hari ini.

"Saya terlalu gembira. Sukar untuk senyum dan menikmatinya dengan bersunguh-sungguh kerana kami tahu hari paling penting adalah esok (hari ini).

"Tetapi seperti pasukan saya kata kepada saya, ia bukan hanya Perlumbaan Sprint, tetapi ia adalah satu langkah ke depan bagi perkembangan saya, evolusi kami.

"Saya gembira, terutama untuk keseluruhan pasukan saya."

Marquez sememangnya tampak cukup dominan di Aragon dan selepas menguasai hari pertama, pelumba kelahiran Sepanyol itu menguasai sesi kelayakan dengan kelebihan hampir 1 saat di depan pencabarnya.

Dan sekalipun tampil dengan persembahan yang nampak sempurna, juara dunia sembilan kali itu mengakui turut melakukan kesilapan terutama di awal perlumbaan.

"Pada pusingan pertama saya melakukan kesilapan pertama di selekoh 1, bahagian depan saya terkunci dan kemudian saya tidak mematikan peranti belakang dengan sempurna dan mendaki dengan keadaan seperti itu," katanya.

"Saya masih tenang tetapi satu lagi kesilapan pada selekoh 12, saya berkata 'Ok', kami perlu memahami litar ini, dan apabila pada pusingan kedua, saya mula menunggang dengan lebih baik.

"Nampaknya dengan keadaan litar (kotor), sukar untuk mendapatkan suhu yang betul kepada tayar pada awalnya. Tetapi apabila saya menemui garisan perlumbaan dan mendapatkan perasaan yang sama ketika latihan, saya hanya cuba untuk tidak menjadi keterlaluan."

"sasaran esok (hari ini) adalah bermula dengan baik dan memimpin perlumbaan sejak pusingan 1. Syaa tahu dan saya menjangkakan jika tahap cengkaman bertambah baik, (Jorge) Martin malah Pecco (Bagnaia) akan cuba merapati saya. Tetapi kami akan cuba menguruskannya."