SUKAR Tapi Pengalaman Berharga di Phillip Island - Adam Norrodin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/26/20241 min read

PENAMPILAN sulung beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Australia disifatkan menghadirkan pengalaman sukar oleh pelumba tunggal negara di WorldSBK, Adam Norrodin.

Adam yang beraksi bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda menamatkan minggu pertamanya di WorldSBK 2024 tanpa mengutip sebarang mata daripada ketiga-tiga perlumbaan yang berlangsung.

Pada Perlumbaan 1 pada Sabtu, pelumba kelahiran Johor itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 dan pada Perlumbaan Superpole, kedudukan sama dicapai sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-19.

Begitupun, pelumba yang menunggang jentera Honda CBR1000RR-R itu tetap percaya dan positif pasukan itu berupaya untuk bertambah baik bagi menghadapi kempen berikutnya.

"Minggu pertama saya di WorldSBK adalah sesuatu yang sukar, dengan keadaan cuaca dan juga hentian pit ketika perlumbaan," kata Adam yang juga bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara.

"Tetapi saya meraih pengalaman yang amat berharga dan saya mengakui yang saya datang ke sini tanpa sebarang jangkaan yang sebenar, juga kerana kami tidak memiliki begitu banyak masa untuk ujian setakat ini.

"Kami masih mencari jalan, yang juga sesuatu yang normal tetapi saya berharap kami boleh menjadi pprduktif ketika sesi ujian dua hari di Barcelona supaya kami boleh lebih bersedia bagi Pusingan 2."

Tidak seperti kebanyakan pasukan yang beraksi di WorldSBK musim ini terutama pasukan utama, pasukan Petronas MIE Racing Honda memang mengharungi sesi ujian yang kurang bersama Honda CBR1000RR-R.

Mengikut jadual, Pusingan kedua WSBK dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada 22 hingga 24 Mac depan.

Sumber Imej: MIE Racing