SUPER KIP Diumum Pelumba Petronas MIE Racing Honda WorldSSP 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/21/20231 min read

MENGIKUTI laporan kami sebelum ini, pelumba negara Khairul Idham Pawi atau lebih popular dengan julukan Super KIP sah akan beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSSP bersama pasukan Petronas Mie Racing Japan Honda musim 2024.

Bukan sekadar teka-teki atau khabar angin, perkembangan mengujakan itu diumumkan sendiri pasukan itu dalam laman sosial rasmi mereka.

Seperti dijangka, Super KIP akan menggantikan tempat yang dikosongkan seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang 'naik pangkat' ke kelas lebih tinggi, WorldSBK.

Sebelum ini, Khairul Idham seperti diberikan 'ujian' untuk posisi berkenaan dengan membuat penampilan sulungnya di WorldSSP di Valencia menerusi tiket 'Wildcard'.

KIP ketika ini berlumba di pentas Asia, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dalam kelas pertengahan, SuperSport600 bersama pasukan Boon Siew Honda Racing.

Berbaki satu lagi pusingan ARRC, KIP ketika ini memimpin carta kejuaraan namun berbekalkan kelebihan tipis susulan prestasi tak menentu ketika pusingan 5 di Zhuhai, China sebelum ini.

Antara kejayaan membanggakan pernah dicapai Super KIP adalah menjadi pelumba pertama negara meraih kemenangan di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 pada 2016.

Selain itu, pelumba kelahiran Perak itu juga berpengalaman berlumba dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia.