'SUPERMOPED' Modenas Lancar Tahun Depan?

TERKINI

11/13/20241 min read

MODENAS memang diketahui sedang membangunkan sebuah model terbaharu dalam segmen kapcai, atau lebih tepat 'Supermoped' ketika ini menerusi kerjasama dengan pengeluar motosikal gergasi Jepun, Kawasaki.

Perkembangan menarik itu kembali hangat susulan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat beberapa tahun lalu.

Kerap ditanya mengenai tarikh pelancarannya, ada maklumat terkini diperoleh daripada bos syarikat itu dalam satu majlis, baru-baru ini.

Berdasarkan info terbaharu yang diperoleh, motosikal berkenaan sudah pun 'siap' dan sedang menjalani ujian 'enduran' atau ketahanan ketika ini.

Perkara itu diperoleh daripada kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roslan, memetik laporan rakan media, Motoqar.

Tetapi menurut Roslan, adalah terlalu awal untuk mengumumkan tarikh pelancarannya kerana sekalipun sudah siap, proses ujian turut memakan masa supaya penambah baikkan dalam dilakukan.

Begitupun daripada jangkaannya, Roslan berkata ia mungkin berlaku pada separuh tahun kedua pada tahun depan.

Menurut laporan itu lagi, dengan maklumat dikatakan diperoleh daripada pihak industri, model 'Supermoped' pertama jenama itu dijadual untuk dilancarkan pada suku ke-4 tahun depan.

Modenas sebelum ini pernah membangunkan projek 'Supermoped' tetapi ia terhenti atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pada beberapa majlis membabitkan syarikat itu sebelum ini, Roslan pernah menyatakan model 'Supermoped' itu akan menyertai segmen sesaran enjin paling 'meriah' di Malaysia iaitu 150 cc.