'SUSAH Nak Dapat Keputusan Lebih Baik Daripada Ini'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/16/20251 min read


FRANCESCO Bagnaia mengakui sukar untuknya mendapatkan keputusan lebih baik berbanding kedudukan ke-4 yang diperoleh pada perlumbaan Grand Prix (GP) Argentina 2025.
Selepas dijangka menjadi pencabar utama kejuaraan MotoGP musim ini selain rakan sepasukannya, Marc Marquez, keputusan yang diperoleh setakat ini tidak begitu memberangsangkan.
Dan ketika Marc mengekalkan rentak kemenangan 100 peratus, juara dunia MotoGP dua kali itu terlepas kedudukan podium pada perlumbaan utama yang dirampas pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli.
Keputusan turut menyaksikan Bagnaia akhirnya menamatkan deretan podium yang diraihnya di perlumbaan GP sejak GP Amerika Syarikat tahun lalu dan ketinggalan 31 mata di belakang Marquez.
"Saya tidak gembira, kami bergelut sepanjang minggu dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dan kelajuan saya tidak begitu jauh daripada pelumba di tempat pertama dan kedua," kata Bagnaia kepada TNT Sport.
"Saya hanya sedikit perlahan setiap pusingan. Saya kehilangan sedikit masa dengan pertarungan saya dengan Johann (Zarco) dan Frankie (Morbidelli).
"Tetapi saya fikir kedudukan lebih baik daripada tempat ke-4 adalah sukar untuk saya hari ini. Saya bergelut di sebahagian litar dan Frankie di depan saya melakukan kerja dengan lebih baik dengan tayar 'soft'.
"Jadi saya perlu meningkat, saya perlu melakukan langkahan, untuk mencari kembali perasaan saya daripada tahun lalu kerana saya kehilangannya ketika ini. Dan apabila saya mendapatkannya kembali, saya akan kembali ke posisi saya.
"Ke-4 bukan tempat saya, malah tiga juga bukan tempat saya. Kami masih berusaha untuknya dan ia adalah harapan saya yang paling maksimum untuk kembali ke posisi saya."
Bagnaia mendedahkan yang dia bergelut untuk menunggang dengan gayanya.
"Saya perlu mencari kembali perasaan saya kerana saya bergelut untuk menjadi pantas dengan mudah seperti saya lakukan tahun lalu, menunggang dengan cara saya," kata pelumba Itali itu.
"Dengan cara ini, kami tidak menunggang dengan perlahan. Kami masih laju tetapi bukan seperti yang saya harapkan dan saya bergelut untuk melakukan perkara yang sama seperti saya buat tahun lau kerana setiap kali saya cuba melakukannya saya melakukan kesilapan.
"Jadi kami perlu terus bekerja dan fokus kepadanya dan cuba untuk meningkat."
