SUSAH Nak Jadi Optimis - Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/25/20251 min read


PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo mengakui sukar untuk menjadi optimis ketika menghadapi perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) British 2025 selepas jentera Yamaha terpaksa bergelut dengan tahap cengkaman rendah di Silverstone.
Juara dunia MotoGP 2021 itu meraih petak utama ketiganya secara berturut-turut selepas mencatatkan masa terpantas ketika sesi kelayakan sambil mencatat rekod terpantas baharu di Silverstone.
Tetapi apa yang mengecewakan, pelumba kelahiran Perancis itu hanya mampu berada di depan hanya untuk 14 pusingan sebelum dipintas Marc Marquez dan lebih malang, menamatkan perlumbaan di tempat ke-7.
Juara Perlumbaan Sprint, Alex Marquez (Gresini Ducati) dan Marc memberitahu media yang mereka menjangkakan saingan hebat daripada Quartararo tetapi jaguh Yamaha berkata cengkaman tayar belakang berada dalam keadaan kritikal.
"Saya menjangkakan untuk menjadi pantas tetapi cengkaman bagi kami jelas amat kritikal dan saya tidak boleh laju," kata Quartararo. "Terlalu banyak getaran. Ada jurang perbezaan yang besar pada sebelah pagi dan tengah hari.
"Dan ini agak luar biasa, dan kami tidak dapat memahami mengapa. Jadi kami perlu memahami perkara ini, terutamanya di litar dengan cengkaman rendah. Sejujurnya, kami tidak boleh terlalu optimistik untuk esok (hari ini).
"Selepas perlumbaan Moto2, memulakan dengan tayar belakang jenis medium, segala-galanya akan kurang cengkaman dan kami tahu dengan jelas situasi itu tidak bagus. Tetapi kami akan cuba untuk menikmati perlumbaan dan memberikan yang terbaik."
Kesemua pelumba Yamaha dikatakan menghadapi masalah cengkaman ketika Perlumbaan Sprint yang menurut Quartararo berpunca daripada gabungan faktor jentera dan keadaan trek.
"Saya fikir pada pagi jika kamu mempunyai satu tahap cengkaman dan di sebelah tengah hari ia berkurangan, perbezaan dengan jentera lain amat besar," katanya.
"Jika perbezaan cengkaman itu kecil, bagi kami kami merasakannya 10 kali lebih terus berbanding orang lain dan kami dapat lihat kelajuan yang kami ada ketika Sprint, berbanding dengan apa yang kami ada, ia amat perlahan."
Quartararo dalam pada itu berkata kemas kini pakej aero yang lebih ringan di Silverstone turut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya enjin yang digunakan di Le Mans kerana jenteranya berdepan kurang 'cengkaman mekanikal'.
