SUSAH Nak Lupakan 'Duka' 2024 - Pecco Bagnaia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/4/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia mengakui kegagalannya untuk menjuarai gelaran dunia MotoGP pada musim lalu amat mengecewakan dan memerlukan banyak tahun sebelum ia dapat 'dihadam'.

Pelumba Ducati Lenovo itu pada musim lalu bersaing sengit dengan pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin sebelum jaguh dari Itali itu terpaksa berpuas hati menamatkan kempen sebagai naib juara.

Lebih mengecewakan, Bagnaia berjaya memenangi perlumbaan paling banyak pada musim lalu iaitu 11 perlumbaan Grand Prix tetapi ia tidak membantunya untuk bergelar juara dan dipisahkan 10 mata dengan Martin pada perlumbaan penutup tirai.

"Penamat pada penghujung musim lalu, ia masih berada di sini (kepala saya)," kata Bagnaia dalam dokumentari di YouTube bertajuk GoFree. "Saya fikir ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk dihadam.

"Apa yang saya cuba lakukan sepanjang musim sejuk adalah untuk menganalisa mengapa saya tidak memenangi gelaran dunia sekali pun saya memenangi perlumbaan lebih daripada orang lain.

"Saya tidak berjaya untuk membawa pulang gelaran dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk diterima, tetapi sudah pasti penting untuk karier saya kerana apabila kamu tewas pada situasi ini sama ada kamu terbenam atau cuba untuk belajar."

Selain 'duka' pada musim lalu, Bagnaia turut berdepan tempoh yang sukar pada permulaan kempen 2025 selepas dibayangi kehebatan rakan sepasukan baharunya, Marc Marquez.

Tetapi kekecewaan itu reda seketika selepas juara dunia MotoGP dua kali itu meraih kemenangan pada Perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat dan hanya dibezakan 12 mata dengan pendahulu kejuaraan, Alex Marquez.