SUSAH Nak Selaju Pedro Acosta Dengan KTM RC16 - Enea Bastianini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/26/20251 min read


ENEA Bastianini tiba di Buriram, Thailand sebagai pemenang Perlumbaan Sprint tahun lalu tetapi kehadirannya kali ini bukan bersama Ducati GP, tetapi KTM RC16.
Sejak menyertai 'geng elit' di MotoGP pada 2021, pelumba kelahiran Itali itu tidak pernah menunggang jentera selain Ducati dengan kempen pra-musim membuktikan proses penyesuaian sesuatu yang sukar.
Selepas mencatat masa ke-16 terpantas pada debutnya bersama KTM RC16 pada November lalu di Catalunya, Bastianini melakukan catatan ke-18 terpantas di Sepang diikuti ke-15 pada ujian pra-musim terakhir di Buriram.
"Buat pertama kali sejak saya berada di MotoGP, saya akan memulakan musim depan jenama baharu, sesuatu yang amat mengujakan dan amat memberi motivasi, bersama dengan cabaran baharu yang mendatang," kata Bastianini.
"Ujian pra-musim bagus. Tetapi kami perlu mempelajari lebih banyak lagi mengenai KTM RC16, dan membina keyakinan langkah demi langkah, jadi sudah tentu, masih ada beberapa perkara yang kami perlu pertingkatkan semasa kami tiba pada pusingan pertama.
"Perkara yang bagus mengenai kehadiran kami di Buriram adalah kami baru saja mengharungi dua hari ujian di sini, jadi kami sudah mempunyai semua data, tetapi kita perlu lihat bagaimana keadaannya, kerana ia dijangka amat panas."
Sekalipun kembali menjalinkan kerjasama dengan bekas ketua krew pada penampilan pertamanya di Ducati, Alberto Girabola, Bastianini yang menyertai pasukan satelit KTM, Tech3 KTM mengakui dia berdepan masalah untuk mengadaptasi corak tunggangannya dengan KTM RC16.
"Masalahnya adalah kami mengikuti arah yang sama seperti kami berada di Ducati, dan dengan jentera ini (Ia tidak berhasil). "Saya mencuba untuk laju ketika mengambil selekoh, tetapi Pedro (Acosta) dengan gaya tunggangan yang amat bertentangan dan melakukannya dengan baik.
"Kami mencuba sedikit sebanyak pelarasannya dan ia berjalan dengan baik, saya lebih laju dan ia mungkin pendekatan untuk jentera ini. Tetapi ia bukan sesuatu yang semula jadi untuk saya, jadi ketika ini, saya tidak boleh laju seperti Pedro."
