'SUSAH Nak Ubah Kebiasaan Bersama Honda' - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/7/20241 min read
PELUMBA Gresini Ducati, Marc Marquez mengakui susah untuknya membuang kebiasaan bersama jentera MotoGP Honda - pasukan yang disertainya selama 11 tahun ketika menunggang jentera Ducati.
Bersetuju dengan pendapat pelumba yang menggantikannya di Honda, Luca Marini, juara dunia MotoGP enam kali itu mengakui jentera Ducati dan Honda memerlukan pendekatan yang berbeza dalam pengendalian tayar belakang.
"Benar-benar bersetuju (Pendapat Marini)," kata Marquez. "Ia memang betul-betul berbeza, cara untuk menggunakan tayar belakang. Kerana itu, saya masih menunggang Ducati seperti Honda.
"Di Valencia, ia tidak apa-apa. Tetapi di sini? Tidak. Saya perlu meninggalkan kebiasaan selama 11 tahun bersama satu saja jentera. Ia sesuatu yang sukar.
"Ketika sedang melakukan catatan terpantas, kamu tidak berfikir. Kamu hanya menggunakan naluri. Jika saya menunggang dengan naluri, saya menunggangnya seperti bersama Honda.
"Ia bukan cara terbaik untuk menunggang jentera ini. Langkah demi langkah. Ia adalah satu proses," kata Marquez.
Marquez, hari ini mencatatkan masa ke-14 terpantas hari kedua ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 dengan 11 pelumba berjaya merakamkan catatan masa bawah 1 minit 57 saat.
Seperti diketahui, pelumba kelahiran Sepanyol itu menunggang jentera Ducati GP23 dan di Sepang dengan jenteranya masih memiliki pelarasan 'Standard' bagi membenarkannya menyesuaikan diri.
"Saya menggunakan pelarasan yang standard berbanding pelumba Ducati lain," kata Marquez. Saya tidak mahu kehilangan arah. Saya tidak mahu menggunakan pelarasan lain," kata Marquez yang mengakui sudah mula 'menikmati' jentera Ducati.