'SUSAH Yamaha Bersaing Untuk Menang Pada Perlumbaan Pertama'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/1/20251 min read


ALEX Rins kagum dengan usaha yang ditampilkan Yamaha bagi meningkatkan kemampuan jentera Yamaha M1 pada musim sejuk ini tetapi mengakui bersaing merebut kemenangan di awal musim sebagai 'tidak realistik'.
Yamaha yang melancarkan jentera baharu bagi musim 2025 di Kuala Lumpur berusaha keras untuk meletakkan pasukan itu kembali ke grid depan selepas mengharungi dua kempen tanpa kemenangan pada 2023 dan 2024.
Diketahui sedang membangunkan enjin dengan konfigurasi V4, Yamaha begitupun menurut Rins tidak 'melupakan' pembangunan jentera sedia ada.
Akan mengharungi musim keduanya bersama pengeluar Jepun itu, Rins berkata Yamaha akan menguji enjin, casis, lengan ayun, fairing dan beberapa lagi komponen utama ketika ujian di Sepang.
"Susah untuk cakap yang kami akan bersaing untuk kemenangan sejak perlumbaan pertama, kerana ia tidak benar," kata Rins kepada Crash.net.
"Ketika ini, kami mempunyai potensi untuk menambahbaik jentera. Yamaha bekerja amat kuat pada musim sejuk ini. "Jadi saya amat teruja untuk menguji jentera pada hari kedua 'Shakedown'.
"Mereka bekerja amat keras. Mereka membawa ejin, casis, lengan ayun, fairing dan banyak lagi perkara baharu. Jadi saya memang kagum.
"Kami akan melakukan dua ujian berturut-turut. Kami akan memulakannya dengan jentera yang standard ketika di Montmelo, tetapi dengan casis baharu yang kami sudah cuba ketika ujian.
"Jadi itu adalah jentera asas kami. Bermula daripada itu kami akan bekerja dengan enjin baharu, elektronik baharu, casis baharu. Jadi ia akan menjadi musim sejuk yang sibuk."
