SUSULAN Kejayaan X440, Harley-Davidson Sedang Hasilkan Model 210cc?

TERKINI

10/2/20231 min read

HARLEY-Davidson melancarkan model bersesaran rendahnya, tahun ini antaranya adalah Harley-Davidson X440 (2023) di India dan seperti dijangka, ia menjadi 'hit' dengan puluhan ribuan jualan diperoleh sebulan.

Selain X440 di India yang dibangunkan dengan kerjasama pengeluar motosikal gergasi India, Hero MotoCorp, Harley-Davidson turut menghasilkan model bersesaran rendah di China.

Terbukti memperoleh penerimaan cukup baik di pasaran domestik India - 25,000 unit jualan sebulan - timbul satu perkembangan menarik memetik laporan media antarabangsa.

Berikutan sambutan yang diperoleh, syarikat pengeluar motosikal Amerika Syarikat itu dikatakan sedang membangunkan sebuah lagi model bersesaran lebih kecil dikenali X210.

Tiada bukti bergambar diperoleh, beritupun mengikut laporan media automotif di India, model prototaip sudah pun dapat dilihat.

Memetik laporan Rush Lane, model prototaip itu dari sudut rekaan nampak seperti Harley-Davidson X440.

Begitupun, ia dipadankan dengan enjin bersesaran lebih kecil 210 cc, 1 Silinder. Seperti dijangka, enjin berkenaan dipakai pada model Hero Karizma XMR 210.

Menggunakan sistem sejukan cecair, Harley-Davidson X210 dijangka berupaya menghasilkan kuasa setinggi 25 Hp dan tork 19 Nm.

Sebagai info, model dalam segmen 200 cc sememangnya cukup popular di pasaran India dengan pelbagai jenama antarabangsa memiliki penawaran masing-masing dan antara yang terbaharu adalah Honda Hornet 2.0.

Dan boleh dijangka, motosikal berkenaan berpotensi untuk dijual pada harga cukup marhaen di India.

Di Malaysia, menurut maklumat yang diperoleh, Harley-Davidson Malaysia setakat ini tidak berminat atau mempunyai perancangan untuk membawa masuk model 'marhaen' Harley-Davidson ke pasaran tempatan.