SUZUKI Avenis (2024) Kini Rasmi Di Malaysia, Dua Varian, Mula RM 6.8k!

PELANCARAN

4/19/20241 min read

PASARAN skuter kompak di Malaysia terus meriah dan terbaharu dengan pengumuman kehadiran penawaran daripada Suzuki Malaysia, hari ini - Suzuki Avenis (2024).

Menurut Suzuki Malaysia, kehadiran Suzuki Avenis (2024) akan mengukuhkan kehadiran jenama Suzuki dalam segmen skuter kapasiti kecil di pasaran tempatan.

Secara keseluruhan, dua pilihan varian ditawarkan untuk Suzuki Avenis (2024) di Malaysia iaitu Standard dan Edisi GP.

Dan perincian membabitkan pilihan warna serta harga adalah seperti berikut:

Suzuki Avenis (2024) Standard

  • Harga: RM 6,980

  • Pilihan warna: Metallic Matte Fibroin Grey/Metallic Lush Green, Metallic Matte Black/Glass Sparkle Black

Suzuki Avenis (2024) Edisi GP

  • Harga: RM 7,200

  • Pilihan warna: Metallic Sonic Silver/Triton Blue

Selain pilihan warna istimewa yang mengambil inspirasi perlumbaan Suzuki di pentas Grand Prix, tiada perbezaan membabitkan rekaan atau spesifikasi untuk kedua-dua varian.

Dan seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas dan tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Direka khas untuk golongan muda dengan gaya hidup dinamik, Suzuki Avenis (2024) menurut Suzuki Malaysia bakal memenuhi keperluan penggunaan harian sebagai skuter yang menawarkan pakej prestasi, keselesaan serta teknologi terkini.

Sebagai kemudahan penggunanya, Suzuki Avenis (2024) turut menggunakan panel meter digital LCD, penutup inlet bahan api yang diposisi di bahagian luar serta kapasiti tangki bahan api 5.2 liter.

Seperti Suzuki Burgman Street EX (2024), ciri-ciri menarik lain adalah seperti ruang simpanan bawah pelana 21.5 Liter, dua tempat gantungan topi keledar, dua tempat gantungan utiliti, ruang penyimpan di kokpit depan dan port pengecasan USB.

Kepada yang berminat, Suzuki Burgman Street EX (2024) sudah pun berada di semua cawangan pengedar Suzuki di seluruh negara bermula hari ini.