SUZUKI Bikin Kejutan, Lancar Sportbike Suzuki GSX-10R (2027) Di Milan!
Tampil dengan rekaan segak mewarisi DNA perlumbaan Suzuki, Suzuki GSX-10R (2027) diasaskan daripada model 'Naked' Suzuki GSX-S1000 yang menyaksikannya menawarkan ergonomik sporting yang tidak terlalu ekstrem namun kekal agresif menerusi kedudukan bar hendal yang sporty
TERKINI
11/3/20261 min read


SUZUKI mencipta sensasi di pameran EICMA 2026 di Itali apabila melancarkan model 'Sportbike' terbaharunya, Suzuki GSX-10R (2027), model yang direka untuk menawarkan gabungan prestasi 'Superbike' yang diadun baik dengan nilai praktikaliti tunggangan harian.
Biarpun mewarisi DNA perlumbaan, Suzuki GSX-10R (2027) diasaskan daripada model 'Naked' Suzuki GSX-S1000 yang menyaksikannya menawarkan ergonomik sporting yang tidak terlalu ekstrem namun kekal agresif menerusi kedudukan bar hendal yang sporty.
Di bahagian trenkuasa, Suzuki GSX-10R (2027) dipacu oleh enjin 999 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair yang diambil daripada GSX-R1000 generasi K5 namun ditala semula untuk kelancaran tunggangan.
Ia menghamburkan kuasa sebesar 152 Hp pada 11,000 rpm berserta tork 106 Nm.
Sebagai model baharu, antara keistimewaan Suzuki GSX-10R terletak pada pakej elektroniknya yang disifatkan antara paling komprehensif pernah dihasilkan pengeluar Jepun itu.
Di bawah payung Sistem Tunggangan Pintar Suzuki (S.I.R.S), ia padat dengan 15 fungsi kawalan elektronik sokongan IMU 6 paksi.
Antaranya termasuklah kawalan cengkaman 10 tahap, kawalan wheelie, dan fungsi terbaharu iaitu sistem kawalan gelinciran yang menguruskan gelinciran tayar belakang ketika meratah selekoh.
Lebih menarik, Suzuki GSX-10R (2027) muncul sebagai motosikal Suzuki pertama yang dilengkapi Sistem 'Brake Hold' yang mengekalkan tekanan brek belakang secara automatik selama 30 saat ketika jentera berhenti di permukaan rata atau berbukit.
Sudut pengendalian, Suzuki GSX-10R (2027) menggunakan kerangka aluminium 'twin-spar' berserta sistem suspensi KYB boleh laras sepenuhnya dan dikawal oleh angkup brek Brembo dengan cakera berkembar 310 mm di hadapan.
Turut melengkapkan model seberat 214 kilogram ini adalah 'Ground Beacon System'yang meningkatkan kebolehlihatan jalanan, panel skrin TFT, serta 'Quickshifter' dwi-arah.



