SUZUKI Gixxer 250, Gixxer SF250 (2023) Kini Rasmi Di Malaysia, Harga Mula RM 14.5k

PELANCARAN

11/6/20231 min read

SUZUKI Malaysia mengakhiri penantian peminat tempatan bagi penawaran suku liter jenama Jepun itu di Malaysia dengan melancarkan Suzuki Gixxer 250 dan Gixxer SF250 (2023), hari ini.

Dan seperti yang dijanjikan sebelum ini, kedua-dua model yang tiba sebagai Unit Pemasangan Tempatan (CKD) itu diumumkan pada harga cukup mengujakan.

Perinciannya membabitkan pilihan warna dan harga adalah seperti berikut:

Suzuki Gixxer 250 (2023)

  • Pilihan warna: Metallic Met Stellar Blue, Metallic Matte Black No. 2. (RM 14,500)

Suzuki Gixxer SF250 (2023)

  • Pilihan warna: Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP) (RM 15,500), Metallic Matte Black No. 2. (RM 15,200)

Seperti kebiasaan, harga yang diumumkan adalah asas dan tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan.

Sebelum pergi lebih jauh, Suzuki Gixxer SF250 (2023) adalah motosikal dalam segmen 'Sportbike' dengan 'fairing' penuh manakala Suzuki Gixxer (2023) tampil dalam segmen 'Naked'.

Begitupun, kedua-duanya tampil dengan spesifikasi trenkuasa yang sama iaitu enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Minyak, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 26.7 Hp pada 9,300 rpm dan tork sebesar 22.2 Nm pada 7,300 rpm.

Antara kelebihan motosikal ini adalah ia dilengkapi dengan teknologi Suzuki Eco Performance (SEP) selain dibina dengan ketahanan maksimum bagi kemudahan penyelenggaraan kepada pemiliknya.

Lebih menarik, ia turut mendapat penarafan Kenderaan Cekap Tenaga Malaysia (EEV). Menurut Suzuki Malaysia, dengan isian penuh minyak petrol, motosikal ini berupaya menempuh jarak 400 km.

Informasi penting dan menarik lain adalah seperti berikut:

  • Tangki bahan api: 12 liter

  • Sistem brek dijana brek cakera tunggal depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

  • Suzuki Easy Start System

  • Panel meter LCD digital penuh.

  • Mufler ekzos dua saluran dengan kemasan krom

  • Rim aloi

  • Lampu depan LED

Kepada yang berminat, maklumat lanjut mengenai kedua-dua penawaran ini, anda boleh mengunjungi cawangan pengedar sah Suzuki Big Bike World, Suzuki Station Plus, Suzuki Station seluruh negara atau layari web Suzuki Malaysia di www.suzuki.com.my