SUZUKI GSX-8R (2024) Kini Rasmi Di Malaysia, RM 53.8k!
PELANCARAN
12/2/20242 min read


SUZUKI Malaysia menamatkan penantian ketibaan salah satu model yang dinanti-nantikan dalam segmen 'Sportbike', Suzuki GSX-8R (2024) untuk pasaran tempatan, hari ini.
Seperti diketahui, Suzuki GSX-8R (2024) pernah ditayangkan ketika acara Malaysia Autoshow (2024) pada Mei lalu dengan angka harga yang diumumkan adalah RM 53,800 (asas).
Seperti biasa, harga yang didedahkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Dua pilihan warna yang ditawarkan adalah Metallic Triton Blue (YSF) dan Metallic Matte Sword Silver (QKA).
Sebagai model serba baharu, Suzuki GSX-8R membuat debut di pasaran global di pameran motosikal terkemuka dunia, EICMA 2023 dan model ketiga yang menggunakan platform trenkuasa yang sama dengan Suzuki GSX-8S dan V-Strom 800, Suzuki GSX-8R (2024).
Justeru kerana ia menggunakan trenkuasa serba baharu 'Parallel-Twin', ia menjadi pesaing kepada beberapa model antaranya dan nampak paling ketara, Yamaha R7.
Dan seperti Yamaha R7, penghasilan Suzuki GSX-8R (2024) adalah disebabkan permintaan terhadap motosikal fokus trek seperti Yamaha R6 yang semakin berkurangan.
Justeru, seperti Yamaha R7, Suzuki GSX-8R (2024) lebih mudah dikendalikan, ergonomik dan kuasanya yang dihamburkan lebih terkawal.
Dari sudut trenkuasa, Suzuki GSX-8R (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder Parallel-twin, 270 Darjah 'Crank', Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.
Sistem transmisi pula menggunakan 6 kelajuan lengkap dengan klac 'Slipper & Assist' dan lebih menarik, sistem 'Quickshifter' (atas/bawah).
Kuasa yang dihamburkan adalah 83 Hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.
Seperti Suzuki GSX-8S dan V-Strom 800, Suzuki GSX-8R (2024) yang menggunakan bar hendal jenis 'clip-on' juga dipadankan dengan pelbagai teknologi moden antaranya memiliki mod tunggangan (3 mod), Suzuki Traction Control System (STCS) tiga tetapan/boleh nyahaktif.
Selain itu, ia turut memiliki sistem 'Easy Start', sistem 'low rpm assist', panel meter TFT berwarna penuh dan kepada yang tak gemarkan sistem 'Quickshifter', ia juga boleh dinyahaktifkan.
Sistem suspensi Suzuki GSX-8R juga yang menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa Big Piston dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan (preload) di belakang dikatakan lebih baik berbanding GSX-8S.
Dengan berat 205 kg, tugas membrek dijana cakera berkembar 310 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Informasi lain adalah sepert set roda 120/70-17 (depan), 180/55-17 (belakang), ketinggian pelana 810 mm dan kapasiti tangki bahan api 14 liter.
Kepada yang berminat, Suzuki GSX-8R (2024) sudah pun boleh didapati di rangkaian Suzuki Big Bike World seluruh negara.








