SUZUKI GSX-8T, GSX-8TT (2025) Debut Global, Gaya Neo-Retro Mengujakan!
Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT (2025), dua model bergaya gabungan retro klasik bersama elemen moden atau lebih dikenali neo-retro akhirnya didedahkan Suzuki Motor Corporation
TERKINI
7/5/20252 min read


SUZUKI Motor Corporation secara rasmi mendedahkan dua model terbaharunya yang berkemungkinan antara paling dinantikan iaitu Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT (2025), model bergaya gabungan retro klasik bersama elemen moden atau lebih dikenali neo-retro.
Sebagai model yang diinspirasi era klasik, ia dipadankan dengan lampu hadapan berbentuk bulat bersama cermin sisi jenis ‘handlebar-end’ yang kali pertama digunakan oleh jenama Jepun itu.
Selain tampil dengan rekaan yang mengujakan, ia turut dipadankan dengan beberapa perkara yang boleh dianggap unik antaranya emblem besar menggunakan nombor lapan dan kemasan yang menjadikannya lebih retro.
Sebelum pergi jauh, seperti namanya, apa yang boleh diagak adalah kedua-dua model dikuasakan dengan trenkuasa yang sama seperti model Suzuki GSX-8S dan GSX-8R yang terkenal sebagai model yang dianggap 'best'.
Dijana enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder, Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, DOHC, ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dan menariknya turut memiliki sistem 'Quickshifter' dua hala.
Kuasa yang dihamburkan adalah 82 Hp @ 8,500 rpm dan tork 78 Nm @ 6,800 rpm.
Sebagai model yang menggunakan teknologi 'Ride-by-wire throttle', Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT (2025) turut sistem elektronik pintar seperti Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) yang memberikan 3 mod tunggangan dengan pemetaan tersendiri dan Kawalan Cengkaman (3 tahap), Low RPM Assist dan Easy Start System.
Menurut Suzuki, Suzuki GSX-8TT (2025) mendapat inspirasi daripada Suzuki GS1000S race replica (1970-an) dan lebih 'Sporty' ala perlumbaan vintaj dengan 'TT' membawa maksud Timeless Tribute yang menggabungkan gaya dengan teknologi semasa.
Suzuki GSX-8T (2025) pula tampil dengan mengambil inspirasi daripada Suzuki T500 Titan (1960-an) dan lebih santai dan bersahaja.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbaik (USD) dari jenama KYB dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan preload (belakang).
Brek pula dijana cakera berkembar 310 mm dengan kaliper Nissin (depan) dan cakera tunggal bersaiz 240 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan set roda 12/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang).
Seperti model 'kembarnya' yang lain, ia menggunakan skrin meter TFT 5 inci berwarna penuh warna paparan interaktif.
Informasi lain adalah seperti berikut:
Suzuki GSX-8T
Tinggi pelana 815 mm
Port USB-C
Tangki bahan api 16.5 liter
Berat 201 kg
Suzuki GSX-8TT
Tinggi pelana 810 mm
Port USB-C
Tangki bahan api 16.5 liter
Berat 203 kg
Setakat ini, Suzuki mengesahkan yang kedua-dua model akan memasuki pasaran Eropah dan Amerika Utara terlebih dahulu iaitu pada musim panas ini. Untuk pasaran Malaysia, maklumat lanjut akan menyusul.
















