SUZUKI GSX-8T, GSX-8TT (2025) Rasmi Di Malaysia, Harga Mula RM 59.6k!

Kehadiran Suzuki GSX-8T, GSX-8TT (2025) di pasaran Malaysia yang dibuat bersempena Grand Prix (GP) Malaysia 2025 boleh dianggap cukup laju kerana pelancaran globalnya berlangsung pada pertengahan tahun ini

PELANCARAN

10/26/20252 min read

SUZUKI Motor Malaysia akhirnya melancarkan model terbaharu dalam platform 'GSX-8' bergaya retro klasik yang dinanti-nantikan - Suzuki GSX-8T, GSX-8TT (2025) di pasaran tempatan.

Apa yang menarik, kehadiran model berkenaan di pasaran Malaysia yang dibuat bersempena Grand Prix (GP) Malaysia 2025 boleh dianggap cukup laju kerana pelancaran globalnya berlangsung pada pertengahan tahun ini.

Seperti diketahui, Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT (2025) adalah model bergaya gabungan retro klasik yang dipadankan dengan elemen moden atau lebih dikenali neo-retro.

Dan sebagai model yang diinspirasi era klasik, ia dipadankan dengan lampu hadapan berbentuk bulat dan menariknya, ciri retro itu 'dimeriahkan' dengan padanan cermin sisi jenis ‘handlebar-end’ yang kali pertama digunakan oleh jenama Jepun itu terhadap model buatannya.

Selain tampil dengan rekaan yang mengujakan, ia turut dipadankan dengan beberapa perkara yang boleh dianggap unik antaranya emblem besar menggunakan nombor lapan dan kemasan yang menjadikannya lebih retro.

Berbalik kepada harga dan pilihan warna, perinciannya adalah seperti berikut:

Suzuki GSX-8T (2025)

  • Harga: RM 59,600

  • Pilihan warna: Metallic Mat Steel Green, Candy Burnt Gold, Metallic Mat Black

Suzuki GSX-8TT (2025)

  • Harga: RM 63,600

  • Pilihan warna: Glass Sparkle Black, Pearl Mat Shadow

Seperti namanya, Suzuki GSX-8T, GSX-8TT (2025) dikuasakan dengan trenkuasa yang sama seperti model Suzuki GSX-8S dan GSX-8R iaitu enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder, Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, DOHC.

Ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dan menariknya turut memiliki sistem 'Quickshifter' dua hala.

Kuasa yang dihamburkan adalah 82 Hp @ 8,500 rpm dan tork 78 Nm @ 6,800 rpm.

Menggunakan teknologi 'Ride-by-wire throttle', Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT (2025) turut dipadankan dengan sistem elektronik pintar seperti Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) yang memberikan 3 mod tunggangan dengan pemetaan tersendiri dan Kawalan Cengkaman (3 tahap), Low RPM Assist dan Easy Start System.

Tiba pada harga lebih mahal, Suzuki GSX-8TT (2025) menurut Suzuki mendapat inspirasi daripada model di era 70-an Suzuki GS1000S race replica lebih 'Sporty' ala perlumbaan vintaj dengan 'TT' membawa maksud Timeless Tribute yang menggabungkan gaya dengan teknologi semasa.

Suzuki GSX-8T (2025) pula tampil dengan mengambil inspirasi daripada Suzuki T500 Titan (1960-an) dan lebih santai dan bersahaja.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbaik (USD) dari jenama KYB dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan preload (belakang).

Brek pula dijana cakera berkembar 310 mm dengan kaliper Nissin (depan) dan cakera tunggal bersaiz 240 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan set roda 12/70-17 (depan) dan 180/55-17 (belakang).

Seperti model 'kembarnya' yang lain, ia menggunakan skrin meter TFT 5 inci berwarna penuh warna paparan interaktif.

Info lain adalah seperti berikut:

Suzuki GSX-8T

  • Tinggi pelana 815 mm

  • Port USB-C

  • Tangki bahan api 16.5 liter

  • Berat 201 kg

Suzuki GSX-8TT

  • Tinggi pelna 810 mm

  • Port USB-C

  • Tangki bahan api 16.5 liter

  • Berat 203 kg