SUZUKI GSX-8T, GSX-8TT Rangkul Anugerah Red Dot!

Kemenangan bagi Kategori Reka Bentuk Produk itu adalah kali pertama produk keluaran Suzuki memenangi anugerah berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada 1955

TERKINI

5/4/20261 min read

PENGELUAR motosikal Jepun, Suzuki melakar sejarah tersendiri apabila dua model 'naked' bergaya 'neo-retro' keluarannya, Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT berjaya merangkul anugerah membabitkan reka bentuk berprestij di Jerman, Anugerah Red Dot, baru-baru ini.

Kemenangan bagi Kategori Reka Bentuk Produk itu adalah kali pertama produk keluaran Suzuki memenangi anugerah berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada 1955.

Anugerah seliaan Pusat Reka Bentuk Nordrhein Westfalen itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap ketelitian Suzuki menterjemah ciri visual klasik ke dalam estetika moden yang lebih berstruktur pada kedua-dua jentera berkenaan.

Sebagai rekod, Anugerah Reka Bentuk Red Dot menilai produk daripada pelbagai industri berdasarkan sembilan kriteria ketat, termasuk inovasi, fungsi, ergonomik, ketahanan, keserasian ekologi serta nilai emosi.

Pegawai Pengurusan merangkap Pengurus Besar Eksekutif Operasi Motosikal Suzuki, Takashi Ise, berkata pihaknya amat berbesar hati dengan pengiktirafan di peringkat global itu.

"Kedua-dua model ini adalah jentera 'neo-retro' yang berjaya menggabungkan elemen unik warisan ikonik masa lalu Suzuki bersama prestasi moden.

"Ia direka bentuk untuk disesuaikan dengan pelbagai situasi tunggangan, daripada kegunaan harian hinggalah kepada tunggangan jarak jauh (touring), sekali gus memberi kepuasan kepada pelanggan merentasi pelbagai gaya hidup.

"Selaras dengan slogan korporat kami, 'By Your Side', Suzuki akan terus komited menghasilkan produk yang mampu memenuhi jangkaan pelanggan, baik dari aspek prestasi mahupun reka bentuk," katanya dalam satu kenyataan.