SUZUKI GSX-S1000GX (2024) Buat Penampilan Global Di EICMA, Guna Suspensi Elektronik!

TERKINI

11/9/20231 min read

SUZUKI Motor Corp melancarkan penawaran terbaharunya dalam segmen 'Sport Touring' aras tinggi, Suzuki GSX-S1000GX (2024) yang tiba dengan perwatakan lebih agresif dan garang berbanding 'Saudaranya', Suzuki GSX-S1000GT.

Seperti biasa, penampilan sulung motosikal berkenaan dilakukan sempena Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2023 di Itali yang sedang berlangsung.

Dari sudut trenkuasa dan teknologi, Suzuki GSX-S1000GX (2024) dipadankan dengan platform yang sama dengan siri GSX-S1000 terutama dari sudut spesifikasi trenkuasa.

Tetapi yang menjadi perbezaan adalah dari sudut 'perwatakan' di mana Suzuki GSX-S1000GX (2024) tampil dengan gaya lebih agresif, tinggi bagi mencabar segmen seperti Kawasaki Versys 1000 dan BMW S1000XR.

Selain penampilan, apa yang turut menarik adalah peningkatan teknologi di mana Suzuki GSX-S1000GX (2024) menjadi motosikal pertama Suzuki yang dipadankan dengan sistem suspensi separa-aktif elektronik digelar 'Suzuki Advanced Electronic Suspension' (SAES).

Secara keseluruhan, empat mod tersedia untuk SAES iaitu “H” (Hard), “M” (Medium), “S” (Soft) dan 'kustom' “U” (User) yang memiliki tetapan tersendiri.

Teknologi baharu lain termasuklah Suzuki Road Adaptive Stabilization (SRAS), Suzuki Floating Ride Control (SFRC) dan Suzuki Drive Mode Selector Alpha.

Dan berada dalam dalam segmen aras tinggi, motosikal yang menggunakan teknologi 'Ride by wire' ini turut datang dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik antaranya 'Quickshifter (atas/bawah), Kawalan Jelajah, Sistem 'Motion track brake', 'Cornering ABS', sistem 'Slope Dependent Control', Suzuki Easy Start dan 'Low RPM Assist'.

Mengulas trenkuasa, ia dipadankan dengan enjin K5 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap dengan angka kuasa dijangka sekitar 152 PS pada 11,000 rpm dan tork 106 Nm pada 9,250 rpm.

Seperti motosikal aras tinggi lain, Suzuki GSX-S1000GX (2024) turut dipadankan dengan panel meter TFT LCD Digital penuh bersaiz 6.5 inci yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar.

Di pasaran UK, Suzuki GSX-S1000GX (2024) dijual pada harga £ 14,499 (RM 83,147) (atas jalan) dan penghantaran pertama kepada pelanggang dijadual pada Krismas.