SUZUKI GSX-S1000GX (2024) Rasmi Di Malaysia, RM 89.9k!
TERKINI
10/24/20241 min read
SUZUKI Malaysia akhirnya mengumumkan kehadiran model terbaharu dalam katalognya, Suzuki GSX-S1000GX (2024), model yang diposisikan dalam segmen 'Sport Crossover' oleh pengeluar Jepun itu.
Pernah beberapa kali ditayangkan oleh Suzuki Malaysia sebelum ini termasuk di Malaysia Autoshow 2024 Suzuki Monsoon Getaway 2024 di Port Dickson, apa yang menjadi rahsia ketika itu adalah harga jualan rasminya.
Dan seperti dijanjikan, harga jualan yang diumumkan untuk motosikal yang padat dengan ciri-ciri menarik serta 'jajan' elektronik ini adalah RM 89,900 (asas).
Harga yang diumumkan tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan, dan insurans.
Tampil dengan rekaan cukup 'Sporty', dua pilihan warna ditawarkan iaitu Metallic Triton Blue (YSF) dan Glass Sparkle Black (YVB).
Sebagai antara model yang dinanti-nantikan terutama untuk penggemar aktiviti jejajah daripada Suzuki di pasaran Malaysia, Suzuki GSX-S1000GX (2024) didakwa Suzuki sebagai model yang sempurna dari sudut gabungan kuasa dan gaya.
Tiba sebagai model yang menggunakan platform yang sama dengan siri GSX-S1000, Suzuki GSX-S1000GX (2024) dipadankan dengan enjin K5 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap.
Bersama sistem transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 152 PS pada 11,000 rpm dan tork 106 Nm pada 9,250 rpm.
Sebagai antara motosikal tercanggih daripada Suzuki, Suzuki GSX-S1000GX (2024 adalah model sulung jenama itu yang dipadankan dengan sistem suspensi separa-aktif elektronik digelar 'Suzuki Advanced Electronic Suspension' (SAES).
Empat mod tunggangan tersedia untuk SAES iaitu 'H' (Hard), 'M' (Medium), 'S' (Soft) dan 'kustom' 'U' (User) yang memiliki tetapan tersendiri. Ciri-ciri moden lain termasuklah Suzuki Road Adaptive Stabilization (SRAS), Suzuki Floating Ride Control (SFRC) dan Suzuki Drive Mode Selector Alpha.
Diposisi dalam dalam segmen aras tinggi, motosikal yang menggunakan teknologi 'Ride by wire' ini turut datang dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik antaranya 'Quickshifter (atas/bawah), Kawalan Jelajah, Sistem 'Motion track brake', 'Cornering ABS', sistem 'Slope Dependent Control', Suzuki Easy Start dan 'Low RPM Assist'.
Informasi lain adalah seperti berikut:
Panel meter TFT berwarna lengkap sambungan telefon pintar
Tinggi pelana: 845 mm
Berat Kerb: 232 kg
Set roda: 120/70-17 (depan), 190/50-17 (belakang)
Kapasiti Tangki Bahan Api 19 liter