SUZUKI Hayabusa Edisi Ulang Tahun ke-25 Sah Masuk Malaysia, Unit Terhad Siapa Cepat Dia Dapat

7/8/20231 min read

SEMPENA ulang tahun ke-25 kelahiran model model berprestasi ikonik Suzuki Hayabusa, Suzuki Motor, baru-baru ini memperkenalkan Suzuki Hayabusa Edisi Ulang Tahun ke-25, dan menariknya, model berkenaan sedang 'dalam perjalanan' ke Malaysia.

Perkembangan menarik itu bukan sekadar khabar angin, malah disahkan sendiri oleh Suzuki Malaysia menerusi laman sosial rasminya, hari ini.

"Suzuki Hayabusa Edisi Ulang Tahun ke-25 dalam perjalanan ke Malaysia. Unit terhad tersedia untuk tempahan," tulis pengendali laman Facebook Suzuki Malaysia.

Menurut Suzuki Malaysia, mereka berterima kasih Suzuki Motor Corporation Japan atas peluang yang diberikan dan membolehkan peminat-peminat Hayabusa di Malaysia peluang untuk mmenjadi 'golongan elit' memperoleh motosikal berkenaan.

Sinonim dengan kelajuan, dan tampil dengan rekaan cukup unik yang ada kalanya kelihatan agak menakutkan, Suzuki Hayabusa adalah salah satu model aras tinggi Suzuki yang mencipta nama di seluruh dunia.

Sekalipun tiada perbezaan dari sudut rekaan atau trenkuasa, Suzuki Hayabusa Edisi Ulang Tahun ke-25 memperoleh pelbagai kelainan dari sudut penampilan antaranya skema warna istimewa Glass Blaze Orange & Glass Sparkle Black.

Kepada peminat Hayabusa, ia pastinya mengimbau kembali skema warna generasi ke-2 sebelum ini.

Selain itu, antara keistimewaan model edisi ulang tahun ke-25 adalah padanan emblem dan logo Suzuki dan logo Hayabusa dalam tulisan Kanji di pelbagai panel termasuk tangki minyak, rantai dan pelaras rantai pemacu dan pemegang rotor brek turut tampil dengan warna emas serta penggunaan pelana tunggal.

Di bahagian trenkuasa, Suzuki Hayabusa Edisi Ulang Tahun ke-25 dipadankan dengan enjin bersesaran 1,340 cc dan sebagai model generasi terkini, ia tampil dengan pelbagai ciri moden dan berteknologi menerusi sistem 'Ride-by-Wire'.

Antara ciri elektronik termasuklah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang datang dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik antaranya Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah, Quick Shiftter dan pelbagai lagi.

Kepada yang berminat dengan Suzuki Hayabusa Edisi Ulang Tahun ke-25, anda boleh mengunjungi cawangan pengedar Suzuki Big Bike World Malaysia untuk maklumat lebih lanjut.