SUZUKI Hayabusa M6 (2026) Kini Di Malaysia, 2 Versi, Harga Mula RM 120k!

Untuk varian Edisi Khas atau SE, Suzuki Hayabusa M6 (2026) tampil dengan pilihan warna Pearl Vigor Blue dan diletakkan tanda harga RM 123,900 oleh Suzuki Malaysia

TERKINI

4/22/20262 min read

SUZUKI Malaysia mengumumkan yang penawaran terbaharu bagi model legendanya, Suzuki Hayabusa M6 (2026) sudah tiba di pasaran tempatan bersama dua versi - Standard dan Edisi Khas (SE).

Untuk versi terbaharu, motosikal 'Sportbike' berprestasi tinggi ikonik dan terkenal dengan kelajuan itu kini menerima sentuhan kosmetik yang katanya lebih moden dan segar menerusi penawaran pilihan warna serta grafik baharu.

Untuk varian Edisi Khas, ia tampil dengan pilihan warna Pearl Vigor Blue dan memiliki tanda harga RM 123,900.

Suzuki Hayabusa M6 versi Standard pula ditawarkan pada tanda harga RM 120,000 dan hadir dalam 2 pilihan warna - Candy Darling Red/ Glass Sparkle Black dan Metalic Galaxy Gray/ Candy Burn Gold.

Seperti biasa, kedua-dua harga yang diumumkan itu adalah asas, tidak termasuk kos insurans, cukai jalan dan yuran pendaftaran.

Terkenal dengan kelajuan, tiada perbezaan membabitkan spesifikasi trenkuasa dan rekaan dengan Suzuki Hayabusa M6 (2026) kekal dengan padanan enjin 1,340 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Fi, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa dihamburkan pada angka 198 Hp @ 9,700 rpm dan tork 150 Nm @ 7,000 rpm.

Memiliki berat 220 kg, Suzuki Hayabusa M6 (2026) didakwa boleh dikerah sehingga kelajuan 312 km/j.

Sebagai model aras tinggi, Suzuki Hayabusa M6 (2026) memiliki sistem elektronik bantuan tunggangan canggih menerusi penggunaan Bosch 6‑axis IMU membolehkan sistem Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) berfungsi.

Menerusi Suzuki Drive Mode Selector Alpha (SDMS‑α), ia menyatukan kawalan lima sistem elektronik utama - mod kuasa enjin, kawalan anti‑wheelie, quickshifter dua hala, kawalan brek enjin, dan kawalan cengkaman ketika membelok.

Turut tersedia ialah pelbagai sistem elektronik canggih seperti Motion Track Traction Control, Launch Control, Active Speed Limiter, Cruise Control, Emergency Stop Signal (ESS), Motion Track Braking, Slope Dependent Control dan Hillhold Control.

Sistem suspensi pula menggunakan fork jenis terbalik (USD) KYB depan dan belakang yang boleh dilaras sepenuhnya.

Brek pula menggunakan cakera berkembar bersaiz 330 mm dengan kaliper Brembo Stylema 4-piston dan cakera tunggal dengan kaliper Nissin 1-piston lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Info lain:

  • Tinggi pelana: 800 mm

  • Tangki petrol 20 liter

  • Set roda 120/70- 17 (depan), 190/50-17 (belakang)

Suzuki Hayabusa M6 (2026) sudah tiba rangkaian bilik pameran Suzuki Big Bike World di seluruh negara.