Suzuki Hayabusa Ulang Tahun ke-25 Diperkenal Di Eropah

7/3/20231 min read

DAH suku abad di pasaran global, Suzuki Motor perkenalkan edisi istimewa Suzuki Hayabusa Ulang Tahun ke-25.

Dalam diam, sudah 25 tahun sejak kali pertama Suzuki memperkenalkan model berprestasi ikoniknya, Hayabusa yang cukup sinonim dengan kelajuan.

Tampil dengan rekaan cukup unik, ada kalanya kelihatan agak menakutkan, sudah hampir 300 ribu unit Suzuki Hayabusa dihasilkan dan dijual di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Dan sempena tarikh keramat itu, Suzuki tampil memperkenalkan Suzuki Hayabusa Ulang Tahun ke-25. Tiada perubahan dijalankan dari sudut rekaan atau trenkuasa dijalankan. Tetapi ia mendapat pelbagai kelainan dari sudut penampilan antaranya skema warna istimewa Glass Blaze Orange & Glass Sparkle Black.

Kepada peminat Hayabusa, ia pastinya mengimbau kembali skema warna generasi ke-2 sebelum ini.

Selain itu, antara keistimewaan model edisi ulang tahun ke-25 adalah padanan emblem dan logo Suzuki dan logo Hayabusa dalam tulisan Kanji di pelbagai panel termasuk tangki minyak. Selain itu, rantai dan pelaras rantai pemacu dan pemegang rotor brek turut tampil dengan warna emas serta penggunaan pelana tunggal.

Sedikit mengenai sejarah Hayabusa yang pernah bergelar motosikal produksi terpantas di dunia dan namanya diambil daripada haiwan terpantas dunia, (burung Peregrine Falcon), generasi pertamanya dihasilkan pada tahun 1998.

Ia diikuti model generasi ke-2 yang diperkenalkan pada tahun 2007 diikuti model generasi terbaharu pada tahun 2021 yang lengkap dengan pelbagai ciri moden dan berteknologi tinggi.

Sinonim dengan kuasa, Hayabusa dipadankan dengan enjin bersesaran 1,299 cc (Gen 1) dan 1,340 cc bagi dua gen berikutnya.

Dan sebagai model yang sinonim dengan kelajuan, Hayabusa menjadi pujaan peminat motosikal dan 'pembikin' motosikal serata dunia yang mahu mengekstrak kuasa daripada enjinnya.

Untuk model generasi terkini, Suzuki Hayabusa tampil dengan pelbagai ciri moden dan berteknologi menerusi sistem 'Ride-by-Wire'.

Antara ciri elektronik termasuklah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang datang dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik antaranya Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah, Quick Shiftter dan pelbagai lagi.