SUZUKI Lancar 'Sportbike' Suzuki GSX-8R (2024), Pencabar R7 Dah Tiba!

TERKINI

11/16/20232 min read

TEPAT seperti pendedahan awal sebelum ini, Suzuki melancarkan model ketiga yang menggunakan platform trenkuasa yang sama dengan Suzuki GSX-8S dan V-Strom 800 namun dalam bentuk lebih 'Sporty', Suzuki GSX-8R (2024).

Dan seperti kedua-dua model yang sudah pun 'mendarat' di pasaran Malaysia, Suzuki GSX-8R (2024) dilancarkan di pasaran global di pameran motosikal terkemuka dunia, EICMA 2023 yang baru melabuhkan tirainya.

Seperti namanya yang memiliki huruf 'R', Suzuki GSX-8R (2024) adalah motosikal yang diposisikan dalam segmen 'Sportbike' aras tengah.

Berikutan ia menggunakan trenkuasa serba baharu 'Parallel-Twin', ia menjadi pesaing kepada beberapa model antaranya dan nampak paling ketara, Yamaha R7.

Seperti R7, penghasilan Suzuki GSX-8R (2024) adalah disebabkan permintaan terhadap motosikal fokus trek seperti Yamaha R6 yang semakin berkurangan. Justeru, ia lebih mudah dikendalikan, ergonomik dan kuasanya yang dihamburkan lebih terkawal.

Menjana Suzuki GSX-8R (2024) adalah enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder Parallel-twin, 270 Darjah 'Crank' yang amat digemari ketika ini.

Suzuki tidak mendedahkan angka kuasa motosikal ini secara rasmi tetapi ia dijangka sama dengan 'saudaranya' paling dekat dan menggunakan kerangka ‘tubular steel’ yang sama iaitu Suzuki GSX-8S yang menghamburkan sekitar 82 Hp.

Sistem transmisi pula menggunakan 6 kelajuan lengkap dengan klac 'Slipper & Assist' dan lebih menarik, sistem 'Quickshifter' (atas/bawah).

Seperti Suzuki GSX-8S dan V-Strom 800, Suzuki GSX-8R (2024) yang menggunakan bar hendal jenis 'clip-on' juga dipadankan dengan pelbagai teknologi moden antaranya memiliki mod tunggangan (3 mod), Kawalan Traksi (tiga tetapan/boleh nyahaktif).

Selain itu, ia turut memiliki sistem 'Easy Start', sistem 'low rpm assist', panel meter TFT berwarna penuh dan kepada yang tak gemarkan sistem 'Quickshifter', ia juga boleh dinyahaktifkan.

Sistem suspensi Suzuki GSX-8R juga yang menggunakan fork jenis terbalik (USD) Showa Big Piston dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan (preload) di belakang dikatakan lebih baik berbanding GSX-8S.

Dengan berat 205 kg, tugas membrek dijana cakera berkembar 310 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Informasi lain adalah seperti set roda 120/70-17 (depan), 180/55-17 (belakang), ketinggian pelana 810 mm dan kapasiti tangki bahan api 14 liter.

Tak diketahui sama ada Suzuki Malaysia merancang untuk membawa Suzuki GSX-8R ke pasaran tempatan namun berdasarkan sumber, ada media tempatan berkemungkinan akan mengujinya tak lama lagi di Eropah. Sama-sama kita nantikan.