SUZUKI Malaysia Jadual Lancar Suzuki GSX-S1000GX, GSX-8R Suku Ke-2 2024?

TERKINI

2/15/20242 min read

SUZUKI Malaysia memiliki deretan model yang dijadual dilancarkan di pasaran tempatan pada tahun ini termasuk dua model terbaharu jenama Jepun itu, Suzuki GSX-S1000GX dan GSX-8R (2024).

Seperti diketahui, kedua-dua model yang diposisi dalam segmen 'Sport touring' (Suzuki GSX-S1000GX) dan 'Sportbike' Suzuki GSX-8R membuat penampilan tahun lalu. Dan kedua-duanya sudah pun mula mendarat dan memiliki tanda harga rasmi di pasaran beberapa negara terutama di Eropah.

Berdasarkan informasi dalaman, Suzuki Malaysia dikatakan tidak mahu menunggu lama untuk membawa masuk kedua-dua model berkenaan ke pasaran tempatan.

Lebih menarik, penantian itu juga tidak lama iaitu pada suku kedua 2024 dan dijangka mendarat pada tanda harga yang kompetitif.

Tiba sebagai model yang menggunakan platform yang sama dengan siri GSX-S1000, Suzuki GSX-S1000GX (2024) dipadankan dengan enjin K5 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap.

Dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 152 PS pada 11,000 rpm dan tork 106 Nm pada 9,250 rpm.

Menyertai persaingan dalam segmen yang turut diisi Kawasaki Versys 1000 dan BMW S1000XR, Suzuki GSX-S1000GX (2024) memang tidak kalah daripada sudut teknologi apabila menjadi motosikal pertama Suzuki yang dipadankan dengan sistem suspensi separa-aktif elektronik digelar 'Suzuki Advanced Electronic Suspension' (SAES).

Secara keseluruhan, empat mod tersedia untuk SAES iaitu “H” (Hard), “M” (Medium), “S” (Soft) dan 'kustom' “U” (User) yang memiliki tetapan tersendiri. Ciri-ciri moden lain termasuklah Suzuki Road Adaptive Stabilization (SRAS), Suzuki Floating Ride Control (SFRC) dan Suzuki Drive Mode Selector Alpha.

Dan berada dalam dalam segmen aras tinggi, motosikal yang menggunakan teknologi 'Ride by wire' ini turut datang dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik antaranya 'Quickshifter (atas/bawah), Kawalan Jelajah, Sistem 'Motion track brake', 'Cornering ABS', sistem 'Slope Dependent Control', Suzuki Easy Start dan 'Low RPM Assist'.

Untuk Suzuki GSX-8R (2024), seperti diketahui ia adalah model 'kembar' kepada Suzuki GSX-8S dan V-Strom 800.

Namun sebagai model yang dipadankan dengan huruf 'R', Suzuki GSX-8R (2024) adalah motosikal yang diposisikan dalam segmen 'Sportbike' aras tengah.

Di bahagian trenkuasa, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder Parallel-twin, 270 Darjah 'Crank' yang cukup digemari ketika ini.

Sistem transmisi pula menggunakan 6 kelajuan lengkap dengan klac 'Slipper & Assist' dan lebih menarik, sistem 'Quickshifter' (atas/bawah).

Selain itu, ia turut dipadatkan dengan pelbagai teknologi moden antaranya memiliki mod tunggangan (3 mod), Kawalan Traksi (tiga tetapan/boleh nyahaktif), sistem 'Easy Start', sistem 'low rpm assist', panel meter TFT berwarna penuh.

Menggunakan bar hendal jenis 'clip-on', antara kelebihan Suzuki GSX-8R adalah ia lebih mudah dikendalikan, ergonomik dan kuasanya yang dihamburkan lebih terkawal.