SUZUKI Malaysia Lancar Suzuki Burgman Street EX (2024), RM 7.5k!

PELANCARAN

4/19/20241 min read

SUZUKI Malaysia menamatkan penantian panjang untuk memperkenalkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter dengan melancarkan Suzuki Burgman Street EX (2024), hari ini.

Kepada yang masih ingat, Suzuki Malaysia pernah menayangkan model berkenaan ketika Pameran Motosikal Kuala Lumpur 2023 dan mendapat maklum balas yang cukup positif.

Dua pilihan warna ditawarkan untuk Suzuki Burgman Street EX (2024) di pasaran tempatan iaitu Pearl Moon Stone Gray dan Metallic Mat Black.

Dan harga jualan yang diumumkan adalah RM 7,500 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Diposisikan dalam skuter maxi kompak eksekutif dan premium, Suzuki Burgman Street EX (2024) tampil dengan rekaan elegan yang menggabungkan keselesaan menunggang serta praktikaliti.

Kelebihan itu diperoleh menerusi jarak antara roda yang lebih panjang serta tempat duduk luas yang sekaligus memberikan pengalaman kestabilan penunggangan yang selesa.

Tipikal skuter maxi, Suzuki Burgman Street EX (2024) menawarkan ruang lantai kaki hadapan yang lebih panjang dan luas yang memberikan fleksibiliti ergonomik untuk penunggang meluruskan kaki untuk lebih keselesaan.

Diposisikan dalam segmen 'premium', Suzuki Burman Street EX (2024) turut dipadankan dengan ciri seperti ‘Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-α)’ yang merangkumi sistem ‘Engine Auto Stop-Start (EASS)’ dan ‘Suzuki Silent Starter System’.

Mengulas spesifikasi trenkuasa, Suzuki Burman Street EX (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 125 cc, 4 Lejang, 2 Injap, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 8.7 PS pada 6,750 RPM dan tork 10 Nm pada 5,500 RPM.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti ruang simpanan bawah pelana 21.5 Liter, dua tempat gantungan topi keledar, dua tempat gantungan utiliti, ruang penyimpan di kokpit depan dan port pengecasan USB.

Sebagai skuter yang berkemampuan melakukan perjalanan jarak jauh, ia turut dipadankan dengan kapasiti tangki bahan api sebesar 5.5 liter yang didakwa Suzuki Malaysia terbaik dalam kelasnya.

Kepada yang berminat, Suzuki Burgman Street EX (2024) sudah pun berada di semua cawangan pengedar Suzuki di seluruh negara bermula hari ini.