SUZUKI Malaysia Perkenalkan Suzuki V-Strom 1050 (2023), Asas RM 78.8k, 2 Pilihan Warna!
TERKINI
10/30/20231 min read


SUZUKI Malaysia meningkatkan penawaran bagi model 'Touringnya' dengan memperkenalkan Suzuki V-Strom 1050 (2023), baru-baru yang tiba pada penawaran harga menarik, RM 78,800 (asas).
Seperti beberapa model aras tinggi jenama itu, Suzuki V-Strom 1050 (2023) tiba sebagai model CBU (Import penuh) dari Jepun. Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Pearl Vigor Blue/Metallic Black dan Glass Blaze Orange/Metallic Mat Black.
Tidak seperti model Suzuki V-Strom 1050 DE (2023) yang dilancarkan pada Jun lalu pada harga RM 88.8k (asas), Suzuki V-Strom 1050 (2023) boleh dikatakan sebagai model 'on-road' V-Strom 1050.
Justeru, tiada perbezaan yang ketara terutama membabitkan reka bentuk mahupun spesifikasi trenkuasa.
Begitupun, ia turut memiliki kelainan dengan Suzuki V-Strom 1050 (2023) berbanding model DE adalah ia tidak mempunyai mod 'Gravel' yang membenarkan sistem ABS dinyahaktifkan.
Dan sebagai model 'on-road', Suzuki V-Strom 1050 (2023) dipadankan dengan rim aluminium bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) bersama tayar jenis tanpa tiub.
Mengulas trenkuasa, Suzuki V-Strom 1050 (2023) dijana enjin bersesaran 1,037 cc, 2 Silinder V-Twin 90 Darjah, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Turut memiliki ciri 'Quick shift' dua hala, kuasa yang dihamburkan adalah 105.5 Hp pada 8,500 rpm dan tork 100 Nm pada 8,000 rpm.
Seperti model DE, ia turut dipadankan dengan teknologi SIRS (Suzuki Intelligent Ride System) yang merangkumi Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah, Sistem Kawalan Pegun Bukit, 'Motion Track Brake System', sistm 'Load Dependent Control', sistem 'Slope Dependent Control', 'Suzuki Easy Start' dan sistem Bantuan RPM Rendah.
Tiga mod tunggangan turut tersedia iaitu A (Active), B (Basic) dan C (Comfort) yang memiliki pemetaan tersendiri.
Ciri-ciri lain termasuklah ketinggian pelana boleh laras (855 mm), visor angin boleh laras, panel meter digital TFT berwarna LCD, tangki bahan api 20 liter dan berat 252 kg.
Seperti biasa, jaminan pengeluar yang ditawarkan oleh Suzuki Malaysia adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.
Kepada yang berminat, Suzuki V-Strom 1050 (2023) sudah pun boleh didapati di cawangan pengedar rasmi Suzuki Big Bike World seluruh negara atau layari laman web www.suzuki.com.my








