SUZUKI Malaysia Rai 50 Pemilik Pertama Suzuki V-Strom 250SX (2024), Dari Sabah, Sarawak Turut Hadir!

BERITA

8/10/20241 min read

SUZUKI Malaysia, sebagai penghargaan kepada kesabaran pelanggannya meraikan 50 pemilik pertama penawaran terbaharu jenama itu di pasaran tempatan, Suzuki V-Strom 250SX (2024).

Bertempat di Gamuda Gardens, Rawang, kesemua 50 pemilik pertama motosikal bergaya 'Adventure touring' itu hadir dan menariknya, pemilik-pemilik dari Sabah dan Sarawak sanggup 'terbang' ke Kuala Lumpur untuk menyertai majlis berkenaan.

Lebih istimewa, setiap pemilik turut menerima sijil pemilikan khas daripada Suzuki Malaysia yang disampaikan sendiri oleh Pengarah dan Pengurus Besar Suzuki Malaysia, Datuk Jeffrey Lim.

Jeffrey ketika ucapannya mengucapkan terima kasih kepada yang pelanggan setia Suzuki Malaysia yang sanggup menunggu sekalipun untuk tempoh agak lama yang turut membuktikan keyakinan terhadap produk Suzuki di Malaysia.

Bagi membuktikan keupayaan dan kemampuan Suzuki V-Strom 250SX (2024), turut dipertontonkan aksi lagak ngeri daripada penunggang profesional negara, Gabit atau nama penuhnya Muhd Habibullah Mohd Saleh.

Dan bukan sekadar gimik pelancaran, ada pemilik yang membeli motosikal berkenaan setengah jam selepas harganya diumumkan turut membawa pulang motosikal masing-masing selepas majlis berlangsung.

Dijual pada harga cukup mengujakan, RM 17,800 (asas), sebagai info, Suzuki V-Strom 250SX (2024) sudah mula dapat 'dibelek' peminatnya di Malaysia sejak tahun lalu.

Dan sekalipun tempahan awal sudah pun dibuka, berlaku kelewatan yang menurut Suzuki Malaysia tidak dapat dielakkan.

Sedikit info, menurut Suzuki Malaysia, spesifikasi Suzuki V-Strom 250SX (2024) di pasaran tempatan sedikit berbeza dengan spesifikasi global terutama India membabitkan panel meter, ekzos dan suspensi.

Seperti biasa, hanya satu varian akan dijual di pasaran Malaysia bersama tiga pilihan warna - Champion Yellow, Glass Sparkle Black dan Pearl Blaze Orange.

Mengulas ringkas spesifikasi Suzuki V-Strom 250SX (2024) yang turut dikatakan laku keras di beberapa pasaran termasuk di Asia Tenggara antaranya Filipina dan Indonesia, selain rekaannya yang 'sedap mata memandang'.

Di bahagian trenkuasa, Suzuki V-Strom 250SX dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Minyak, Suntikan Bahan Api, SOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 26.1 Hp pada 9,300 rpm dengan tork 22.2 Nm pada 7,300 rpm.

Turut berlangsung adalah sesi tunggang uji ringkas membabitkan media-media automotif tempatan yang berlangsung di pelbagai laluan permukaan termasuk lasak.