SUZUKI Motor Corp Jalin Kerjasama Strategik Dengan CAPCOM!
Suzuki GSX-8R membuat kemunculan secara rasmi di pasaran tempatan sempena acara Malaysia Autoshow pada tahun lalu dan ditawarkan pada harga asas menarik RM 53,800
TERKINI
8/4/20251 min read


SUZUKI Motor Corporation mengumumkan kerjasama unik menariknya bersama syarikat gergasi permainan video CAPCOM Co., Ltd., yang menandakan langkah berani pengeluar motosikal Jepun itu ke dunia eSports.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penajaan kejohanan rasmi permainan video popular dan ikonik Street Fighter 6 sepanjang tahun 2025, termasuk siri CAPCOM Pro Tour, Street Fighter League, dan CAPCOM CUP 12.
Menurut Suzuki, penyertaan mereka ke dunia eSports bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi juga usaha menyatukan dua komuniti besar antara peminat motosikal dan pemain video.
Dengan jutaan peminat Street Fighter di seluruh dunia, Suzuki melihat ia sebagai peluang untuk memperluas pengaruh jenamanya melalui platform digital yang semakin berkembang.
Kerjasama dimulakan secara rasmi di acara EVO 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos lalu di Las Vegas, Amerika Syarikat dengan Suzuki menjadi penaja utama kejohanan berkenaan.
Dalam acara berkenaa, Suzuki turut mempamerkan motosikal kolaborasi khas yang diinspirasikan daripada karakter ikonik dalam permainan video itu iaitu Suzuki GSX-8R Tuned by JURI.
Sebagai model kolaborasi, penampilan motosikal ini mengambil inspirasi daripada karakter Juri Han dengan rekaan grafik agresif dan elemen visual yang menyerlahkan identiti watak berkenaan.
Untuk info, Suzuki GSX-8R adalah motosikal 'Sportbike' terbaharu jenama itu yang menggunakan platform GSX-8S tetapi dengan fairing penuh dan talaan suspensi lebih agresif.
Ia dilengkapi dengan enjin bersesaran 776 cc, Parallel-twin, DOHC yang menghasilkan 82 Hp dan tork 78 Nm.
Di Malaysia, Suzuki GSX-8R dilancarkan secara rasmi sempena Malaysia Autoshow 2024 dan ditawarkan pada harga asas RM 53,800.
