SUZUKI Motor Thailand Lancar Burgman Street EX, GL (2024), Malaysia Menyusul?

TERKINI

4/15/20241 min read

SUZUKI Motor Thailand sempena Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2024, baru-baru ini memperkenalkan dua model skuter - Suzuki Burgman Street EX dan GL (2024).

Seperti namanya yang tampil sedikit berbeza - EX dan GL - perbezaan membabitkan kedua-dua model berkenaan, selain pilihan warna juga boleh dikatakan minimum.

Untuk Suzuki Burgman Street GL (2024), ia dipadankan dengan visor angin yang lebih besar berbanding Suzuki Burgman Street EX (2024).

Selain itu, panel lantai model GL memiliki 'bonggol' di bahagian tengah dengan model EX tampil dengan dek rata.

Tiada perbezaan membabitkan trenkuasa dengan Suzuki Burgman Street EX dan GL (2024) dengan kedua-duanya menggunakan enjin yang sama iaitu bersesaran 124 cc, 1 Silinder, 2 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Udara, SOHC yang dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

Dan kuasa yang dihamburkan adalah sekitar 8.7 PS pada 6,750 rpm dan tork 10 Nm pada 5,500 rpm.

Harga jualan yang diumumkan pula adalah THB 69,900 (RM 9,084) untuk Suzuki Burgman Street EX (2024) dan THB 74,900 (RM 9,733) untuk Suzuki Burgman Street GL (2024).

Tidak seperti di Thailand, Suzuki Malaysia belum menyenaraikan skuter bersesaran rendah dalam katalog syarikat itu setakat ini.

Tetapi berdasarkan informasi yang diperoleh, syarikat itu akan melancarkan dua penawarannya dalam segmen berkenaan tidak lama lagi, dan lebih menarik berkemungkinan pada penghujung bulan ini atau awal bulan depan.

Dan dua model yang dikatakan adalah Suzuki Burgman 125 yang tampak cukup mirip Suzuki Burgman Street EX dan Suzuki Avanis 125 - dua model yang pernah ditayangkan di Pameran Motosikal Kuala Lumpur, tahun lalu.

Lebih menarik, berdasarkan informasi yang diperoleh juga, harga jualannya cukup menarik iaitu sekitar RM 7k ke RM 8k. Jadi, sama-sama kita nantikan.