SUZUKI Raider R150Fi EWC1 (2024) Diperkenalkan, RM 8.9k!

TERKINI

4/4/20241 min read

SUZUKI Malaysia mengemaskini penawaran kapcai popularnya, Suzuki Raider R150i yang kini hadir dengan padanan seragam Suzuki di Kejuaraan 'Endurance' Dunia (EWC), Suzuki Raider R150Fi EWC1 (2024).

Seperti namanya, Raider R150Fi EWC1 (2024) dipadankan dengan 'Liveri' Suzuki di pentas EWC yang sememangnya cukup menarik.

Dan harga yang diumumkan oleh Suzuki Malaysia untuk kapcai berkenaan adalah RM 8,988 (Tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran).

Mungkin sedikit mengecewakan, Suzuki Raider R150Fi EWC1 (2024) bukanlah model edisi terhad yang menyaksikan tiada perubahan dari sudut spesifikasi mahupun rekaan dilakukan berbanding varian Standard.

Mengulas ringkas trenkuasa, motosikal yang pernah tular berikutan kelajuannya dijana enjin bersesaran 147.3 cc, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi klac manual 6 kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan mengagumkan dalam kelasnya iaitu 18.2 Hp pada 10,000 rpm dan tork 13.8 Nm pada 8,500 rpm.

Ciri-ciri menarik yang dipadankan adalah lampu LED (depan/belakang), panel meter digital, ruang simpanan baharu dan sistem Suzuki Easy Start.

Menurut Suzuki Malaysia, Suzuki Raider R150Fi EWC1 (2024) adalah 'mukadimah' atau permulaan kepada bahagian penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan dalam bidang sukan permotoran di bawah seliaan AFY Mobility Industries (AMI) iaitu AMITEC.

Ini kerana akan ada satu lagi model Suzuki Raider R150Fi namun menggunakan kod EWC1 yang dipadankan dengan pelbagai 'jajan' selepas ini.

Dan lebih menarik, pengenalan versi ini turut menjadi petanda bahawa Suzuki Malaysia berkemungkinan akan menyertai pentas perlumbaan tempatan pada masa akan datang.

Sebagai info, Suzuki Malaysia pernah memperkenalkan versi edisi terhad Suzuki Raider R150Fi AS25 (Azlan Shah Kamaruzaman) pada tahun 2022.

Kepada yang berminat, Suzuki Raider R150Fi EWC1 (2024) sudah pun boleh didapati di cawangan pengedar Suzuki Malaysia seluruh negara.

Dan seperti kebiasaan, setiap pembelian akan diberikan jaminan perbatuan 20,000 km atau 2 tahun (mana satu tiba dahulu).