SUZUKI SV-7GX Tayang Di KLIMS 2026, Penantian Hampir Berakhir?

Begitupun, ia bukanlah pelancaran untuk Suzuki SV-7GX yang diposisi dalam segmen 'Sport touring' berkenaan, namun penampilan pertamanya kepada orang awam dan media oleh Suzuki Malaysia

TERKINI

6/16/20261 min read

SUZUKI Malaysia mencipta kejutan apabila menayangkan buat pertama kali kepada umum salah satu model yang dinanti-nantikan di pasaran tempatan, Suzuki SV-7GX sempena acara KLIMS 2026 yang sedang berlangsung.

Begitupun, ia bukanlah pelancaran untuk model dalam segmen 'Sport touring' berkenaan, namun penampilan pertamanya kepada orang awam dan media.

Justeru, tarikh pelancarannya masih berstatus teka-teki namun berdasarkan maklumat yang diperoleh, ia berkemungkinan tidak memakan masa yang begitu lama.

Membuat kemunculan di peringkat global ketika acara berprestij EICMA tahun lalu, Suzuki SV-7GX seperti diketahui dihasilkan daripada model legenda Suzuki iaitu Suzuki SV650 terutama unit trenkuasanya.

Dipadankan dengan enjin 645 cc, 2 Silinder V-Twin 90 darjah, ia digandingan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap dengan ciri 'Quickshifter' (naik dan turun) dengan kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 73 Hp pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 6,800 rpm.

Tetapi tidak hanya dipadankan dengan trenkuasa yang sama, enjin yang dipadankan kepada Suzuki SV-7GX diberikan penambah baikan terutamanya dengan ia patuh piawaian emisi Euro 5+, lebih cekap bahan api dan maklum balas terotel lebih baik.

Untuk kekal relevan, Suzuki SV-7GX turut dipadankan dengan ciri elektronik moden dengan sistem 'ride-by-wire' yang menyaksikannya memilik mod tunggangan (3 - A, B, C) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) tiga mod dan boleh dinyahaktif.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional 41 mm dan penyerap hentak tunggal (belakang) lengkap dengan ciri pelarasan pra-beban.

Sistem henti menggunakan brek cakera kembar bersaiz 290 mm dengan angkup Tokico 4 piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston (belakang) lengkap dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Info lain:

  • Soket pengecas USB-C

  • Panel meter menggunakan TFT 4.2 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar

  • Set roda 120/70-17 (depan), 160/60-17 (belakang)

  • Penghadang tangan

  • Visor angin boleh laras tiga tahap (manual)

  • Tapak kotak barangan belakang

  • Tangki bahan api 17.4 liter

  • Lampu LED penuh

  • Tinggi pelana 795 mm

  • Berat 211 kg

Setakat ini, pelbagai ramalan harga diletakkan untuk Suzuki SV-7GX tetapi berpandukan situasi semasa, ia dijangka berada pada angka di bawah RM 50k.