SUZUKI SV650 Final Edition (2025) Laku Keras, 600 Unit Dah Lama 'Selesai'!
TERKINI
5/20/20251 min read


SUZUKI Malaysia melancarkan model yang turut 'diusik' sebagai 'purba' tetapi cukup menarik, Suzuki SV650 Final Edition (2025), baru-baru ini dan seperti jangkaan, permintaan yang diperoleh cukup luar biasa.
Diumumkan pada harga jualan menarik, RM 29,900, perkara itu sememangnya boleh diagak. Dan maklumat terbaharu yang diperoleh daripada syarikat itu, kesemua kuota awal berjumlah 600 unit sudah pun 'selesai'.
Malah syarikat itu dikatakan sedang berusaha untuk menambah kuota itu bagi memenuhi permintaan peminat.
Situasi ini menunjukkan betapa popularnya model naked retro ikonik yang sudah lama dikenali dengan karakternya yang tersendiri itu.
Sebagai langkah untuk memenuhi permintaan yang tinggi, Suzuki Malaysia dikatakan sedang berusaha menambah lagi 60 unit bagi membolehkan peminatnya mendapatkan model berkenaan yang dikatakan akan dihentikan pengeluarannya secara rasmi tak lama lagi.
Selain rekaan yang memiliki ramai penggemarnya di Malaysia, Suzuki SV650 Final Edition (2025) adalah produk CBU (Completely Built-Up) dari Jepun.
Justeru, ia jelas menambah lagi nilai eksklusifnya selain label 'Final Edition' yang tampil dengan pilihan warna dan corak grafik istimewa.
Dengan kekuatan jenama dan harga yang diumumkan oleh Suzuki Malaysia, Suzuki SV650 Final Edition (2025) boleh dikatakan adalah antara tawaran terbaik dalam segmennya.
Mengulas spesifikasi, Suzuki SV650 Final Edition (2025) dipadankan dengan enjin 645 cc, 90° V-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersam sistem transmisi 6 kelajuan.
Ia berupaya menghasilkan kuasa 73 Hp @ 8,500 rpm dan tork 64 Nm @ 8,100 rpm sekali gus menjadikannya cukup berkuasa untuk pelbagai jenis tunggangan.
Sekalipun beberapa spesifikasinya mungkin dianggap klasik, Suzuki SV650 tetap menawarkan pengalaman tunggangan yang lancar, menyeronokkan, dan terkenal dengan ketahanannya.
Jadi, tidak hairan ia terus diminati ramai dengan tempoh menunggu yang dikatakan cukup lama susulan permintaan tinggi dari peminat motosikal di Malaysia menjadi bukti.












