SUZUKI V-Strom 1050 Dapat Warna Baharu (2026), RM 78.9k

Tiada perubahan dari sudut mekanikal dengan Suzuki V-Strom 1050 (2026) kekal dikuasakan enjin 1,037 cc V-Twin 90-darjah, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap 'Quickshifter'

TERKINI

5/10/20261 min read

SUZUKI Malaysia mengumumkan kemas kini untuk model aras tingginya dalam segmen 'Adventure touring', Suzuki V-Strom 1050 (2026) yang hadir bersama harga jualan asas RM 78,900.

Tampil lebih segar, kemas kini terbaharu itu begitupun hanya memfokuskan kepada peningkatan kosmetik yang membabitkan tawaran warna dan corak grafik baharu.

Ia adalah:

  • Metallic Oort Grey

  • Metallic Matt Steel Green

  • Glass Sparkle Black

Lebih menarik, setiap pembelian model ini akan didatangkan dengan set kotak simpanan tulen Suzuki secara standard.

Tiada perubahan dari sudut mekanikal dengan Suzuki V-Strom 1050 (2026) kekal dikuasakan enjin 1,037 cc V-Twin 90-darjah, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap 'Quickshifter'.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 105.5 Hp pada 8,500 rpm dan tork 100 Nm pada 8,000 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) di bahagian depan dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang yang lengkap dengan ciri pelarasan.

Sebagai model aras tinggi, Suzuki V-Strom 1050 sarat dengan ciri elektronik canggih menerusi Sistem Tunggangan Pintar Suzuki (S.I.R.S.) dengan pakej merangkumi Sistem Kawalan Traksi (STCS), Sistem Brek Jejak Gerakan, Kawalan Jelajah, Kawalan Pegun Bukit (Hill Hold), serta kawalan adaptif bergantung kepada beban dan kecerunan jalan.

Turut disertakan, Sistem Mula Mudah Suzuki dan Bantuan RPM Rendah bagi mengelakkan enjin mati secara tiba-tiba ketika mula bergerak.

Info lain

  • Set roda 110/90-19 (depan), 150/70-17 (belakang)

  • Port pengecas USB

  • Soket 12-Volt

  • Visor angin boleh laras (manual)

  • Tinggi pelana 855 mm

  • Panel meter TFF 5 inci

  • Kapasiti tangki bahan api 20 liter

  • Berat 252 kg