SUZUKI V-Strom 160 (2025) Diperkenalkan, Tapi...

TERKINI

11/25/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Jepun, Suzuki memperkenalkan model 'bongsu' dalam keluarga V-Strom dengan melancarkan Suzuki V-Strom 160 (2025) di pasaran Amerika Selatan, baru-baru ini.

Tampil dengan nama 'V-Strom', ia adalah model yang diposisi dalam segmen 'Adventure touring'. Justeru, ia dikatakan mempunyai kemampuan untuk meredah laluan lasak yang boleh dikatakan baik.

Tetapi jangan terlalu teruja, Suzuki V-Strom 160 (2025) belum lagi disenarai dalam produk global buat Suzuki dan ia sebenarnya adalah model hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar China, Haojoe.

Memacu Suzuki V-Strom 160 (2025) adalah enjin bersesaran 160 cc, 1 Silinder, Suntikan Bahan Api, SOHC, yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 14.75 Hp pada 8,000 rpm dan tork 14 Nm pada 6,500 rpm.

Menurut Suzuki, Suzuki V-Strom 160 (2025) dihasilkan untuk kegunaan lasak namun mudah dikawal dan selesa untuk ditunggang.

Dari sudut dimensi, ia mempunyai panjang 2,025 mm dengan jarak antara roda 1,345 mm dan ketinggian pelana tidak begitu 'menakutkan' iaitu 795 mm bersama jarak lega bumi 160 mm.

Dan digandingkan dengan berat 148 kg, ia sebuah motosikal yang ringan dan mudah untuk dikendalikan.

Memiliki kapasiti tangki bahan api sebesar 13 liter, spesifikasi Suzuki V-Strom 160 (2025) boleh dianggap menarik menggunakan sistem lampu LED penuh dan brek cakera depan dan belakang lengkap Sistem Brek Anti-Kunci.

Set roda adalah 100/80-17 (depan) dan 130/70-17 (belakang) bersama rim 'sukan' dengan tayar jenis 'dual purpose'.

Di pasaran tempatan, Suzuki Malaysia baru saja melancarkan Suzuki V-Strom 250SX (2024) di pasaran tempatan bersama penawaran harga cukup menarik RM 17,800 (asas) pada Mei lalu.