SUZUKI V-Strom 250SX (2023) Debut Jepun Bulan Ini, Giliran Malaysia Menyusul?

TULAR

8/9/20231 min read

SUZUKI akhirnya secara rasmi mengumumkan tarikh kehadiran model 'Adventure touring' paling rendah sesaran enjinnya dalam keluarga V-Storm, Suzuki V-Strom 250SX (2023) di pasaran Jepun.

Selepas mencipta kejayaan di India, Filipina dan Indonesia, Suzuki V-Strom 250SX (2023) akan dilancarkan di pasaran negara Matahari Terbit itu pada 24 Ogos ini.

Sebagai info, Suzuki V-Strom 250SX (2023) dibina, dihasilkan dan membuat debut di India sekitar April tahun lalu. Dan sejak dari itu, ia turut dicanang akan tiba ke pasaran tempatan.

Jika melihat dari sudut penggayaan dan reka bentuk, Suzuki V-Strom 250SX (2023) memang mengambil inspirasi dan cukup mirip dengan 'saudaranya' dari keluarga V-Strom yang bersesaran lebih besar serta lengkap dengan elemen kembara.

Di bahagian trenkuasa, Suzuki V-Strom 250SX (2023) dipadankan dengan enjin yang sama dengan model Gixxer 250 iaitu enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Minyak, Suntikan Bahan Api, SOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 26.1 Hp pada 9,300 rpm dengan tork 22.2 Nm pada 7,300 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork telekopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Informasi lain adalah seperti:

Set roda: 100/90-19 (depan), 140/7-17 (belakang)

Tinggi pelana: 835 mm

Jarak lega bumi: 205 mm

Berat: 167 kg

Seperti motosikal moden lain dalam segmennya, Suzuki V-Strom 250SX (2023) turut dipadankan dengan sistem lampu LED penuh, ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Suzuki Ride Connect Edition dan Suzuki Easy Start System.

Tiga pilihan warna ditawarkan di Jepun iaitu Champion Yellow Number Two, Pearl Blaze Orange dan Glass Sparkle Black. Ia akan dijual pada harga 569,800 yen (RM 18,219).

Menurut Suzuki Malaysia, syarikat itu memang merancang untuk membawa barisan model 250 cc jenama itu di pasaran tempatan namun tarikh pelancarannya belum diketahui dan berkemungkinan besar pada tahun ini. Sama-sama kita nantikan.