SUZUKI V-Strom 250SX (2024) Rasmi Di Pasaran Malaysia, Asas RM 17.8k!

PELANCARAN

8/5/20242 min read

SUZUKI Malaysia, hari ini menamatkan teka-teki membabitkan motosikal suku liternya dalam segmen 'Adventure touring' dengan mengumumkan kehadiran Suzuki V-Strom 250SX (2024) di pasaran bersama penawaran harga cukup menarik RM 17,800 (asas).

Sebelum pergi lebih jauh, angka harga mengujakan yang diumumkan oleh Suzuki Malaysia itu tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Seperti biasa, hanya satu varian akan dijual di pasaran Malaysia bersama tiga pilihan warna - Champion Yellow, Glass Sparkle Black dan Pearl Blaze Orange.

Membuat kemunculan global beberapa tahun lalu, pelbagai media pernah melaporkan mengenai kehadiran Suzuki V-Strom 250SX (2024) yang sudah menjadi bahan tontonan sejak tahun lalu namun meleset.

Begitupun, seperti dilaporkan oleh kami di MotoDotMy.com, ia dikatakan berkaitan dengan kesulitan yang melanda syarikat itu membabitkan kemampuan kapasiti pengeluaran di kilang Suzuki Malaysia.

Mengulas rekaan Suzuki V-Strom 250SX, ia sememangnya mengikuti 'acuan' abang-abang besarnya yang lain dalam segmen V-Storm dan dikatakan laku keras di beberapa pasaran termasuk di Asia Tenggara antaranya Filipina dan Indonesia.

Di bahagian trenkuasa, Suzuki V-Strom 250SX dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Minyak, Suntikan Bahan Api, SOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 26.1 Hp pada 9,300 rpm dengan tork 22.2 Nm pada 7,300 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork telekopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Informasi lain adalah seperti seperti set roda 100/90-19 (depan), 140/7-17 (belakang), tinggi pelana 835 mm, jarak lega bumi 205 mm dan berat 167 kg.

Seperti motosikal moden lain dalam segmennya, Suzuki V-Strom 250SX (2023) turut dipadankan dengan sistem lampu LED penuh, ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi Suzuki Ride Connect Edition dan Suzuki Easy Start System.

Istimewa untuk pasaran Malaysia, Suzuki V-Strom 250SX (2024) turut memiliki pelindung terotel dan pemijak kaki 'off-road'.

Setakat ini berdasarkan maklumat yang diperoleh, barisan pertama motosikal yang tempahannya sudah dibuka sejak tahun lalu itu juga dikatakan sudah penuh.

Dan satu majlis penyerahan juga dijadual berlangsung pada Sabtu ini oleh Suzuki Malaysia kepada pembeli-pembeli terawalnya.

Seperti biasa, setiap pembelian ditawarkan Suzuki Malaysia dengan jaminan perjalanan sejauh 20,000 km atau selama dua tahun (yang mana tiba dahulu).