SUZUKI V-Strom 800DE Rally Edition (2023) Dah Tiba Di Eropah, Lagi 'Lasak', Ada Peluang Masuk Malaysia?

7/23/20231 min read

SUZUKI V-Strom 800DE (2023) secara rasmi menerjah pasaran Malaysia pada penghujung bulan lalu dan tak menunggu masa lama, motosikal bergenre 'Adventure touring' itu tampil dengan varian lebih lasak di Eropah dikenali Suzuki V-Strom 800DE Rally Edition (2023).

Dijual pada harga 12,798 Euro (RM 64,964) di pasaran Perancis. Sebagai perbandingan, harga Suzuki V-Strom 800DE 'Standard' dijual pada harga 11,499 Euro (RM 58,370).

Dan harga jualan motosikal ini di pasaran Malaysia ketika pelancarannya adalah RM 60,800 (asas) namun angka yang diumumkan itu akan tamat sejurus promosi pengenalan (50 unit) habis dijual.

Secara asasnya, tiada perbezaan diantara Suzuki V-Strom 800DE (2023) Standard dengan Suzuki V-Strom 800DE Rally Edition (2023) dari sudut spesifikasi trenkuasa dan rekan bentuk keseluruhan.

Tetapi kelainannya lebih terarah kepada pemasangan beberapa komponen antaranya seperti penggunaan bar pelindung dengan 'mount' lampu limpah dan pelindung bawah enjin aluminium.

Selain itu, penggunaan tayar juga berbeza dengan bersi Rally Edition dipadankan dengan tayar jenis Bridgestone AX41 berbanding Dunlop Trailmax Mixtour (versi standard). Selain itu, corak grafik yang ditawarkan juga lebih cun.

Sedikit mengecewakan, di beberapa lagi pasaran antaranya UK, pihak Suzuki hanya menjual kit Rally Edition dan bukannya modal penuh. Sekalipun mendapat pakej yang sama (komponen), namun tetapi ia tidak datang dengan pelekat grafik istimewa.

Setakat ini, tak diketahui sama ada Suzuki Malaysia akan membawa versi Rally Edition ini ke pasaran tempatan tetapi melihat kepada tahap aktif mereka ketika ini, ia bukan sesuatu yang mustahil. Sama-sama kita tunggu.