SUZUKI V-Strom 800RE (2024) Dirasmikan, 'Lasak' Dihadkan, Spesifikasi Kekal Padu

TERKINI

10/10/20232 min read

SUZUKI akhirnya melancarkan Suzuki V-Strom 800RE (2024) baru-baru ini, model yang boleh dianggap 'kembar seiras' kepada Suzuki V-Strom 800DE (2023) namun lebih berorientasikan 'On-Road touring'.

Berkongsi platform Suzuki V-Strom 800DE (2023), menurut Suzuki, model 'RE' dikurangkan kriteria 'lasak' namun dioptimumkan pengendaliannya di laluan 'tarmac'.

Begitupun, perubahan yang dibuat tidak menghilangkan ciri-ciri seperti keselesaan, praktikaliti dan sebagainya.

Dan diperkenalkan di pasaran Eropah, apa yang lebih menarik adalah Suzuki V-Strom 800RE (2024) ditawarkan pada harga lebih murah berbanding model DE.

Tiada perubahan besar dari sudut rekaan berlaku namun untuk menjadikannya Suzuki V-Strom 800RE (2024) lebih bias 'on-road', ia dipadankan dengan rim 'Sport' aluminium bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) dengan tayar jenis 'Tubeless'.

Sebagai perbezaan, versi DE menggunakan rim jenis jejari bersaiz 21 inci (depan) dan 17 inci - jejari (belakang).

Di bahagian suspensi, Suzuki V-Strom 800RE (2024) turut dipadankan fork USD jenama Showa Separate Fork-Big Piston (SFF-BP) boleh laras (preload) dan penyerap hentak tunggal Showa boleh laras ‘preload' dan tambahan 'damping’.

Untuk penggunaan di atas laluan 'tarmac', sistem suspensi turut ditala dengan jarak 'travel' kepada 150 mm manakala jarak lega bumi kepada 185 mm berbanding 220 mm (DE).

Turut mengalami perubahan adalah di bahagian brek di mana Suzuki V-Strom 800RE (2024) dipadankan dengan brek cakera berkembar 310 mm dengan kaliper Nissin 4 Piston (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan kaliper Nissin 1 Piston (belakang) dengan cakera tidak lagi menggunakan jenis 'petal'.

Seperti versi DE, Suzuki V-Strom 800RE (2024) turut dilengkapi sistem elektronik terkini iaitu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi ciri seperti Kawalan Traksi, Sistem Brek Anti-Kunci, Mod Tunggangan, Sistem 'Easy Start' dan 'Low RPM Assist'.

Sistem ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) juga memiliki dua tetapan (Low, High) dan Kawalan Traksi juga mempunyai mod dan boleh dinyahaktif.

Panel meter yang digunakan kekal jenis TFT berwarna 5-inci tanpa sambungan ke telefon bimbit.

Turut kekal adalah ciri menarik seperti 'Quickshifter' 'up-down', sistem lampu LED penuh dan kapasiti tangki bahan api 20 liter.

Selain itu, turut tidak mengalami perubahan adalah di bahagian trenkuasa menerusi penggunaan enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan juga kekal kepada 83 Hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

Di Eropah, tiga pilihan warna ditawarkan untuk Suzuki V-Strom 800RE (2024) iaitu Pearl Vigor Blue, Metallic Matt Steel Green dan Glass Sparkle Black.