SUZUKI V-Strom 800RE Tour (2024) Diperkenal, Lengkap 'Pannier, Top-Box'!

TERKINI

4/9/20242 min read

SELEPAS melancarkan Suzuki V-Strom 800RE, Suzuki menambah satu lagi varian terhadap motosikal 'Adventure touring' popularnya itu menerusi pengenalan Suzuki V-Strom 800RE Tour (2024), baru-baru ini.

Sebagai perbezaan, Suzuki V-Strom 800RE boleh dianggap 'kembar seiras' kepada Suzuki V-Strom 800DE (2023) - model yang ada dijual di Malaysia - namun lebih berorientasikan 'On-Road touring'.

Dan untuk Suzuki V-Strom 800RE Tour (2024) yang diperkenalkan di Eropah, kemas kini yang dibuat hanya membabitkan aksesori iaitu kelengkapan 3 box pengangkut (2 pannier 1 top box).

Sebagai model pengendaliannya di laluan 'tarmac' dioptimumkan, Suzuki V-Strom 800RE dipadankan dengan rim 'Sport' aluminium bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) dengan tayar jenis 'Tubeless'.

Sebagai perbezaan, versi DE menggunakan rim jenis jejari bersaiz 21 inci (depan) dan 17 inci - jejari (belakang).

Di bahagian suspensi, Suzuki V-Strom 800RE Tour (2024) dipadankan fork USD jenama Showa Separate Fork-Big Piston (SFF-BP) boleh laras (preload) dan penyerap hentak tunggal Showa boleh laras ‘preload' dan tambahan 'damping’.

Untuk penggunaan di atas laluan 'tarmac', sistem suspensi turut ditala dengan jarak 'travel' kepada 150 mm manakala jarak lega bumi kepada 185 mm berbanding 220 mm (DE).

Turut mengalami perubahan adalah di bahagian brek di mana Suzuki V-Strom 800RE (2024) dipadankan dengan brek cakera berkembar 310 mm dengan kaliper Nissin 4 Piston (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan kaliper Nissin 1 Piston (belakang) dengan cakera tidak lagi menggunakan jenis 'petal'.

Seperti versi DE, Suzuki V-Strom 800RE (2024) turut dilengkapi sistem elektronik terkini iaitu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang merangkumi ciri seperti Kawalan Traksi, Sistem Brek Anti-Kunci, Mod Tunggangan, Sistem 'Easy Start' dan 'Low RPM Assist'.

Sistem ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) juga memiliki dua tetapan (Low, High) dan Kawalan Traksi juga mempunyai mod dan boleh dinyahaktif.

Panel meter yang digunakan kekal jenis TFT berwarna 5-inci tanpa sambungan ke telefon bimbit dan turut kekal adalah ciri menarik seperti 'Quickshifter' 'up-down', sistem lampu LED penuh dan kapasiti tangki bahan api 20 liter.

Di bahagian trenkuasa, enjin yang digunakan adalah bersesarean 776 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan juga kekal kepada 83 Hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

Di Eropah, tiga pilihan warna ditawarkan untuk Suzuki V-Strom 800RE Tour (2024) iaitu Champion Yellow No. 2, Glass Matt Mechanical Grey dan Glass Sparkle Black bersama harga jualan £ 12,499 (RM 75,233).