SWM SC250X, Skuter Gaya 'ADV' 2 Silinder 'Panaskan' MBS 2026?

Kehadiran SWM di Malaysia Bike Show (MBS) 2026 bukan lagi rahsia dan sudah pun disahkan dengan penyertaan jenama Itali itu adalah menerusi pengedar tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce)

TERKINI

5/13/20261 min read

SELEPAS mencuri tumpuan di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2025, skuter bergaya kembara (ADV) SWM SC250X dijangka membuat penampilan sulungnya di Malaysia pada acara Malaysia Bike Show (MBS) 2026, hujung bulan ini.

Tidak lagi rahsia, kehadiran SWM sudah pun disahkan dan penyertaan jenama Itali itu adalah menerusi pengedar tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce).

Begitupun menurut maklumat yang diperoleh, penampilan skuter gaya ADV suku liter itu di MBS 2026 hanyalah untuk pameran dan pratonton umum untuk model masa depan, bukannya pelancaran rasmi dengan tarikh ia rasmi di Malaysia akan diputuskan kemudian.

Apa yang pasti, kehadiran SWM SC250X itu pastinya dinantikan memandangkan model berkenaan mencipta kelasnya yang tersendiri sebagai satu-satunya skuter gaya ADV yang dikuasakan oleh enjin dua silinder di dalam segmen 250 cc setakat ini.

Lebih mengujakan, model itu turut dilengkapi pelbagai spesifikasi premium yang kebiasaannya hanya ditawarkan pada jentera berkapasiti 300 cc hingga 400 cc dan ke atas, termasuk padanan rim lidi tanpa tiub serta sistem suspensi belakang jenis 'multi-link'.

Selain itu, ia turut menggunakan sistem lengan ayun seperti motosikal konvensional dan menggunakan pacuan rantai sekali pun jenis transmisi masih automatik CVT.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api sebesar 13 liter, saiz rim 17 inci (depan), 15 inci (belakang) dan ruang simpanan bawah pelana yang katanya boleh memuatkan 2 helmet muka penuh.